BAITULMAQDIS, 26 Disember - Tentera Israel mendakwa telah membunuh seorang anggota elit Pasukan Quds Iran dalam satu serangan udara di Lubnan pada Khamis, dan menuduh individu berkenaan terlibat merancang serangan terhadap Israel.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel mengenal pasti sasaran sebagai Hussein Mahmud Marshad al-Jawhari, yang disifatkan sebagai “pengganas utama dalam unit operasi Pasukan Quds”, iaitu cabang operasi luar Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
Menurut tentera Israel, Hussein didakwa terlibat secara langsung dalam aktiviti keganasan yang diarahkan oleh Iran terhadap negara itu serta pasukan keselamatannya, dengan operasi dijalankan dari Lubnan dan Syria.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak susulan konflik bersenjata yang tercetus pada Jun lalu.
Israel sebelum ini mencetuskan perang selama 12 hari dengan Iran selepas melancarkan gelombang serangan ke atas sasaran ketenteraan dan nuklear, termasuk kawasan perumahan, dengan alasan untuk melumpuhkan program penyelidikan nuklear serta peluru berpandu balistik republik Islam itu.
Iran membalas tindakan tersebut dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel.
Pada peringkat akhir konflik, Amerika Syarikat turut menyertai Israel dalam serangan singkat ke atas beberapa kemudahan nuklear Iran sebelum satu gencatan senjata diumumkan.
Iran, yang tidak mengiktiraf kewujudan Israel, sejak sekian lama menuduh negara itu menjalankan operasi sabotaj terhadap kemudahan nuklearnya serta melakukan pembunuhan ke atas saintis Iran.
Tehran juga menyokong beberapa kumpulan bersenjata di rantau ini sebagai sebahagian daripada apa yang digelarnya “paksi penentangan”, termasuk kumpulan Hezbollah di Lubnan dan Hamas di Palestin.
Kedua-dua kumpulan tersebut pernah terlibat konflik berskala besar dengan Israel dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel pada Khamis turut mengumumkan penahanan seorang lelaki warganegara Israel yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan di bawah arahan perkhidmatan perisikan Iran. - AFP