fb fb fb fb fb

AS, Korea Selatan rangka garis panduan pertahanan nuklear bersama terhadap Korea Utara

Foto Reuters

SEOUL, 16 Disember - Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan bercadang untuk merangka garis panduan bersama mengenai strategi pertahanan nuklear menjelang pertengahan tahun depan dan mewujudkan sistem bersepadu untuk menghalang senjata nuklear Korea Utara, kata agensi berita Yonhap pada Sabtu.

Washington dan Seoul telah memutuskan untuk melengkapkan garis panduan komprehensif menjelang tahun depan tentang cara untuk membendung dan bertindak balas terhadap ancaman nuklear Pyongyang bersama-sama, kata Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Kim Tae-hyo kepada wartawan di AS, lapor Yonhap.

Garis panduan itu dijangka merangkumi kaedah perkongsian maklumat sensitif berkaitan senjata nuklear Korea Utara, proses perundingan sekiranya berlaku krisis nuklear, dan saluran komunikasi masa nyata antara pemimpin kedua-dua negara, katanya.

AS dan Korea Selatan juga dijangka memasukkan latihan operasi nuklear dalam latihan ketenteraan bersama tahun depan, kata Yonhap.

Korea Utara mungkin menguji pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bulan ini, yang merupakan ancaman nuklear tanpa mengira jarak kerana ia boleh membawa hulu peledak nuklear, kata Kim pada Jumaat.

Korea Utara telah membangunkan dan menguji rangkaian peluru berpandu balistik yang boleh mencapai sasaran di Korea Selatan, Jepun dan tanah besar AS.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN