TEGUCIGALPA, 7 Mei- Kedutaan Amerika Syarikat di Honduras mengeluarkan amaran mengenai ancaman tembakan rambang yang berpotensi berlaku di ibu negara Tegucigalpa, mendorong pihak polis untuk meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa lokasi tumpuan.
Dalam kenyataan di platform media sosial X, Kedutaan AS memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kemungkinan serangan tembakan pada 6 Mei dan sekali lagi dijangka berlaku pada 16 Mei.
"Antara lokasi yang mungkin menjadi sasaran ialah Sekolah Kristian Elliot Dover, Centro Civico serta sebuah pusat beli-belah yang belum dikenal pasti," menurut kenyataan tersebut sambil menggesa warga AS supaya mengelakkan kawasan-kawasan berkenaan.
Pengarah Polis Honduras, Juan Manuel Godoy, memaklumkan amaran itu berpunca daripada maklumat yang diperoleh Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).
Jurucakap polis, Miguel Martinez Madrid, pula berkata pihaknya telah melaksanakan rondaan yang dipertingkatkan termasuk pemeriksaan kenderaan di kawasan berisiko.
Sementara itu, anggota polis dan tentera turut dilihat berkawal di kawasan sekolah Elliot Dover susulan amaran keselamatan tersebut.-AFP