PYONGYANG, 7 Mei- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, melakukan lawatan ke sebuah kilang senjata yang menghasilkan peluru dan jentera, menurut laporan televisyen rasmi negara itu, KRT, pada Rabu.
Dalam lawatan tersebut, Kim memuji pencapaian kilang berkenaan yang berjaya meningkatkan kadar pengeluaran kepada empat kali ganda berbanding purata tahunan, sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kekuatan tempur asas angkatan tentera negara itu.
Laporan itu hadir selepas dakwaan bahawa Korea Utara telah membekalkan peluru dan peluru berpandu bernilai berbilion dolar kepada Rusia dalam serangan ke atas Ukraine.
Selain itu, negara berkenaan juga didakwa telah menghantar kira-kira 15,000 anggota tentera ke wilayah pertempuran.
Ahli Parlimen Korea Selatan minggu lalu, yang memetik maklumat daripada agensi perisikan negara mereka, berkata sokongan Korea Utara telah memberi kelebihan kepada Rusia di medan perang, khususnya di wilayah barat Kursk.
Ia sekali gus mempererat hubungan antara dua negara yang dikenakan sekatan antarabangsa dari segi ekonomi dan diplomatik.-REUTERS