fb fb fb fb fb

Rusia, Ukraine saling bertukar 205 tawanan perang

Beberapa tahanan perang Ukraine dilaporkan telah dibebaskan dalam satu pertukaran tahanan/Foto REUTERS

MOSCOW, 6 Mei - Rusia dan Ukraine mengadakan pertukaran tawanan perang dengan setiap pihak menyerahkan seramai 205 orang tentera kepada pihak satu lagi, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).

Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan berkata hasil rundingan, seramai 205 tentera Rusia telah dibebaskan dan diserahkan dari wilayah yang dikuasai Ukraine pada 6 Mei.

“Sebagai balasan, 205 tawanan perang Ukraine juga telah diserahkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), kementerian itu turut memuji usaha pengantaraan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudahkan pertukaran tawanan itu serta menzahirkan penghargaan atas sumbangan kemanusiaannya.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa tentera Rusia yang telah dikembalikan sedang menjalani penilaian psikologi dan perubatan di Belarus sebelum dibawa pulang ke Rusia untuk rawatan dan pemulihan lanjut. - BERNAMA-TASS/ANADOLU

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN