BEIJING, 7 Mei- China mengumumkan pemotongan kadar rizab bank dan kadar faedah utama dalam usaha terbaru Beijing untuk merangsang ekonomi yang terjejas akibat penggunaan domestik yang lemah dan ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Gabenor bank pusat China, Pan Gongsheng, berkata kadar 'reserve requirement ratio' (RRR) akan dikurangkan sebanyak 0.5 mata peratusan.
“China juga akan menurunkan kadar seven-day reverse repurchase kepada 1.4 peratus daripada 1.5 peratus,” kata Pan dalam satu sidang media.
Beliau menjelaskan langkah-langkah tersebut bertujuan untuk menyokong inovasi teknologi, menggalakkan penggunaan, dan mempromosikan kewangan inklusif, antara lain.
Ekonomi kedua terbesar dunia itu masih bergelut untuk pulih sepenuhnya sejak pandemik COVID-19, selain menghadapi permintaan domestik yang lembap serta krisis berpanjangan dalam sektor hartanah.
Pakar ekonomi turut memberi amaran ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu boleh menjejaskan perniagaan, meningkatkan harga pengguna, dan mencetuskan kemelesetan global.
April lalu, Beijing menyalahkan perubahan mendadak dalam ekonomi global sebagai punca kejatuhan sektor pembuatan.
Bagaimanapun, eksport China melonjak lebih 12 peratus pada Mac apabila syarikat-syarikat bergegas mengeksport barangan sebelum tarif besar-besaran dikenakan oleh Presiden AS Donald Trump.-AFP