(Peluru berpandu yang dihantar untuk Ukraine di
Lapangan Terbang Antarabangsa Boryspil di luar Kiev, Ukraine/REUTERS)
KIEV, 23 Julai- Amerika Syarikat menjanjikan lebih banyak sokongan ketenteraan untuk Ukraine, termasuk dron, dan sedang melakukan persediaan awal untuk menghantar pesawat pejuang, ketika pertempuran berlanjutan lima bulan selepas pencerobohan Rusia.
Semalam, Moscow dan Kiev menandatangani perjanjian penting untuk membuka sekatan eksport bijirin dari pelabuhan Laut Hitam.
Bagaimanapun, wakil negara berkenaan enggan duduk semeja dan mengelak berjabat tangan pada majlis perjanjian yang berlangsung di Istanbul, mencerminkan permusuhan kedua pihak.
(Seorang penyelamat melakukan operasi di bangunan sekolah yang rosak
akibat serangan tentera Rusia, di Kramatorsk, wilayah Donetsk, Ukraine/REUTERS)
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memuji perjanjian pada hari Jumaat kerana membuka sekatan eksport bijirin yang bernilai kira-kira $10 bilion, diperlukan bagi menangani krisis makanan.
Bagaimanapun, berkenaan perang, Zelensky menegaskan tidak mungkin ada gencatan senjata melainkan wilayahnya yang hilang diambil semula.
"Menghentikan sementara konflik dengan Russia bermakna memberi ruang kepada mereka untuk berehat", katanya kepada Wall Street Jurnal.
"Masyarakat percaya bahawa semua wilayah mesti dikembalikan dahulu, dan kemudian kita boleh berunding tentang apa yang perlu dilakukan seterusnya dan bagaimana kita boleh hidup pada masa akan datang", katanya.