fb fb fb fb fb

Amerika Syarikat akan kenakan tarif 100 peratus terhadap semikonduktor

Foto AFP

WASHINGTON, 6 Ogos– Amerika Syarikat akan mengenakan tarif kira-kira 100 peratus ke atas cip dan semikonduktor yang diimport.

Presiden Donald Trump berkata, bagaimanapun, tarif itu tidak akan terpakai kepada syarikat yang telah memberikan komitmen untuk mengeluarkan barangan tersebut di Amerika Syarikat atau sedang dalam proses berbuat demikian.

"Jadi 100 peratus tarif akan dikenakan ke atas semua cip dan semikonduktor yang masuk ke Amerika Syarikat.

"Tetapi, tiada tarif dikenakan jika anda mahu membina kilang semikonduktor di Amerika Syarikat atau sedang dalam proses membinanya," katanya.

Trump tidak menawarkan butiran lanjut mengenai cadangan tersebut dan ia bukan pengumuman rasmi tarif.

Tidak jelas berapa banyak cip atau dari negara mana, akan terjejas oleh levi baharu itu namun sebarang tarif cip berkemungkinan menyasarkan China.

Sementara itu, syarikat pembuat cip dari Taiwan, TSMC dikecualikan daripada tarif 100 peratus oleh Trump ke atas cip semikonduktor.

Dalam taklimat di parlimen, Ketua Majlis Pembangunan Negara Liu Chin-ching berkata, mereka dikecualikan kerana TSMC pengeksport utama Taiwan yang mempunyai kilang di Amerika Syarikat.

"Sesetengah pembuat cip Taiwan akan terjejas oleh tarif 100 peratus, tetapi pesaing mereka juga akan menghadapi levi yang sama," katanya.

Liu bercakap beberapa jam selepas Trump mengumumkan di White House bahawa Washington akan meletakkan tarif yang sangat besar pada cip dan semikonduktor.

TSMC ialah pembuat cip kontrak terbesar di dunia dengan Nvidia dan Apple merupakan pelanggannya.

Trump telah mengenakan tarif sementara 20 peratus ke atas Taiwan, tidak termasuk semikonduktor, ketika perunding Amerika Syarikat dan Taiwan cuba untuk menyelesaikan perjanjian. - REUTERS

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello