fb fb fb fb fb

Protes di Buenos Aires, pesara mahu keadilan isu pencen

Foto Reuters

BUENOS AIRES, 7 Ogos- Sekumpulan pesara mengadakan tunjuk perasaan di Buenos Aires pada Rabu sebagai bantahan terhadap kerajaan Argentina berhubung kadar pencen yang dianggap tidak mencukupi.

Pasukan keselamatan bertindak menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran Kongres Kebangsaan dengan menggunakan meriam air dan semburan lada.

Para penunjuk perasaan meluahkan kesusahan mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat serta bayaran pencen yang tidak mencukupi.

“Kami tak boleh hidup dengan apa yang mereka bayar. Nak beli makanan pun dah tak mampu. Kami makan sekali sehari, sarapan dan sekali makan, itu saja. Memang tak cukup,” kata Silvia Saires, pesara berusia 70 tahun.

“Kami ada seorang presiden yang tak peduli apa-apa atau sesiapa. Saya rasa dia pun tak sayangkan ibunya,” kata seorang lagi penunjuk perasaan, Ana Saavedra.

Pada Isnin, Presiden Libertarian, Javier Milei, menolak cadangan kenaikan pencen serta rang undang-undang yang mengukuhkan perlindungan bagi golongan kurang upaya, dengan alasan ia bercanggah dengan komitmennya untuk menghapuskan defisit fiskal kronik negara itu.

Pentadbiran Milei menyatakan Kongres telah meluluskan rang undang-undang perbelanjaan itu “tanpa menentukan sumber dana”. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM