WASHINGTON, 7 Ogos - Tentera Amerika Syarikat mengenal pasti suspek penembakan di Fort Stewart, Georgia pada Rabu sebagai Quornelius Radford, 28 tahun, yang juga anggota tentera, namun punca dia melepaskan tembakan ke arah lima rakan sepasukannya masih belum diketahui.
Menurut Komander Divisyen Infantri Ketiga, Brigedier Jeneral John Lubas, Radford dipercayai menggunakan pistol miliknya di tempat kerja dan kesemua mangsa yang merupakan rakan sekerjanya kini dilaporkan stabil.
Insiden tembakan bukan perkara asing di Amerika Syarikat, negara yang mempunyai akses senjata api secara meluas, termasuk di pangkalan tentera yang dikenali sebagai kawasan berkeselamatan tinggi.
Insiden paling buruk pernah berlaku pada 2009 di pangkalan tentera Fort Hood, apabila seorang anggota berpangkat major menembak mati 13 anggota tidak bersenjata dan mencederakan lebih 30 yang lain menggunakan pistol berlampu laser.
Kurang lima tahun kemudian, seorang lagi anggota tentera di pangkalan sama menembak mati tiga anggota serta mencederakan 16 yang lain sebelum membunuh diri.-REUTERS