WASHINGTON, 22 Disember- Amerika Syarikat (AS) dan Mexico akan memperhalusi kerjasama dalam menangani isu penghijrahan haram yang sedang meningkat naik dari kedua-dua negara.
Langkah itu digerakkan selepas perbincangan oleh kedua pemimpin tertinggi negara, Presiden Joe Biden dan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador yang mahu perkara itu diambil tindakan segera.
Menurut kenyataan White House, delegasi pegawai atasan AS akan menuju ke Mexico dalam usaha membincangkan alternatif pantas untuk mengetatkan penguatkuasaan di sempadan.
"Biden meminta Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro Mayorkas dan Penasihat Keselamatan Dalam Negeri White House, Liz Sherwood Randall untuk pergi ke Mexico dalam beberapa hari akan datang," kata kenyataan itu.
Polis sempadan AS dalam beberapa minggu kebelakangan ini melaporkan kira-kira 10,000 lintasan haram direkodkan setiap hari.
Sejak Oktober 2022 hingga September 2023, sebanyak 2.4 juta pertemuan pengawal peronda dan kumpulan migran direkodkan termasuk melalui laluan di kedua-dua pelabuhan rasmi dan di sepanjang sempadan bahagian selatan.
Pada Selasa, pihak berkuasa menutup dua persimpangan jambatan rel di sempadan Mexico iaitu Eagle Pass dan El Paso, Texas dalam usaha untuk mengehadkan kemasukan haram ke kereta api kargo.
Lintasan kenderaan sementara itu telah digantung sejak awal bulan serta di pintu masuk di Arizona dan California.
"Biden dan Lopez Obrador bersetuju bahawa tindakan penguatkuasaan tambahan diperlukan segera supaya pintu masuk utama dapat dibuka semula."
"Pasukan AS akan bertemu dengan Presiden Lopez Obrador untuk membincangkan tindakan selanjutnya yang boleh diambil bersama untuk menangani cabaran sempadan semasa," jelas kenyataan White House itu lagi.
Idea termasuk meningkatkan pusat pemeriksaan di laluan kereta api dan lebuh raya serta memperketat kawal selia keselamatan di sempadan selatan Mexico.- AFP