WASHINGTON, 10 Disember- Pentadbiran Biden sedang mencari cara untuk berhubung dengan kumpulan penentang kerajaan yang berjaya menggulingkan Presiden Syria, Bashar al-Assad, dengan bekerjasama bersama-sama rakan serantau seperti Turkiye bagi memulakan diplomasi tidak rasmi.
Dalam satu taklimat Jabatan Negara Amerika Syarikat,, jurucakap Matthew Miller berkata Washington mempunyai pelbagai cara untuk berkomunikasi dengan kumpulan-kumpulan tersebut, termasuk salah satu yang sebelum ini telah ditetapkan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat.
"Kami telah terlibat dalam perbincangan ini sejak beberapa hari lalu.
"Setiausaha (Antony Blinken) sendiri telah mengadakan perbincangan dengan negara-negara yang mempunyai pengaruh dalam Syria, dan kami akan terus melakukannya," kata Miller.
Negara di rantau Asia Barat dan kuasa Barat kini sedang berusaha untuk menjalin hubungan dengan kumpulan utama penentang kerajaan Syria, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah kumpulan yang dahulunya bersekutu dengan Al Qaeda dan kini diiktiraf sebagai organisasi pengganas oleh AS, Kesatuan Eropah, Turki, dan PBB.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, telah giat berhubung dengan pemimpin-pemimpin Asia barat, termasuk dua kali bercakap dengan Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, dalam tempoh empat hari lalu, menurut Miller.
Turki, yang mempunyai tentera di kawasan barat laut Syria, memberikan sokongan kepada beberapa kumpulan penentang seperti Tentera Nasional Syria (SNA), walaupun ia turut menganggap HTS sebagai kumpulan pengganas.
Apabila ditanya sama ada AS bercadang untuk berhubung terus dengan pemimpin HTS, Ahmed al-Sharaa, yang lebih dikenali sebagai Abu Mohammed al-Golani, Miller enggan mengulas tetapi tidak menolak kemungkinan itu.
"Kami percaya kami mampu berkomunikasi, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan semua pihak yang relevan," katanya.
AS telah mengisytiharkan Golani sebagai pengganas pada 2013, menyatakan bahawa beliau telah diarahkan oleh Al Qaeda di Iraq untuk menggulingkan rejim Assad dan menubuhkan undang-undang syariah di Syria.
Keputusan Assad untuk melarikan diri ke Rusia pada Ahad menandakan titik perubahan besar di Asia Barat, selepas 13 tahun perang saudara dan lebih 50 tahun pemerintahan keluarganya.
Kejatuhan kerajaannya juga menamatkan pengaruh Iran dan Rusia yang kukuh di dunia Arab.
Presiden Joe Biden menyifatkan detik tersebut sebagai peristiwa bersejarah untuk rakyat Syria yang telah lama hidup di bawah penindasan Assad.
Namun, beliau juga memberi amaran bahawa Syria menghadapi tempoh ketidakstabilan dan ketidakpastian.
Sepanjang empat tahun pentadbirannya, polisi Syria oleh Biden dilihat kurang diberi keutamaan, memandangkan isu seperti pencerobohan Rusia ke Ukraine dan konflik di Gaza lebih banyak menarik perhatian Washington.
Dalam dekad lalu, HTS, yang dahulunya dikenali sebagai Nusra Front, cuba memperbaiki imejnya dengan mentadbir wilayah yang dikuasainya di Idlib.
Kumpulan tersebut dikenali kerana mengenakan cukai ke atas aktiviti komersial dan penduduk di kawasan tersebut.
Seorang pegawai kanan AS berkata, walaupun HTS "mengeluarkan kenyataan yang betul" pada masa ini, masih terlalu awal untuk meramal apa yang akan berlaku di Syria.-REUTERS