fb fb fb fb fb

Syria: Majlis Keselamatan PBB sepakat tangani situasi selepas kejatuhan Assad

Foto REUTERS

NEW YORK, 10 Disember- Anggota Majlis Keselamatan PBB akan menghasilkan kenyataan bersama mengenai Syria dalam tempoh terdekat menurut diplomat Amerika Syarikat dan Rusia selepas mesyuarat tertutup mengenai penggulingan Presiden Bashar al-Assad dan penguasaan ibu kota Damsyik oleh pasukan penentang kerajaan.

"Saya fikir, Majlis secara umum sepakat mengenai keperluan untuk mengekalkan integriti wilayah dan kesatuan Syria, memastikan perlindungan orang awam, serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk yang memerlukan," kata Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia, kepada wartawan selepas pertemuan badan dunia yang dianggotai 15 negara itu.

Timbalan Duta Besar AS, Robert Wood, mengesahkan bahawa kebanyakan anggota bercakap mengenai isu-isu tersebut dan berkata bahawa majlis itu akan berusaha untuk mengeluarkan kenyataan bersama.

Amerika Syarikat kini merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan untuk bulan Disember.

"Ini adalah detik yang luar biasa untuk rakyat Syria," kata Wood.

"Fokus kami sekarang adalah melihat bagaimana situasi berkenaan berkembang.

"Bolehkah wujud sebuah pihak berkuasa yang menghormati hak dan martabat rakyat Syria?", tambahnya.

Sementara itu, Duta Syria ke PBB, Koussay Aldahhak, memberitahu wartawan bahawa misi diplomatiknya dan kesemua kedutaan Syria di luar negara telah diarahkan untuk meneruskan tugas mereka dan mengekalkan institusi negara semasa tempoh peralihan.

"Pada masa ini, kami menunggu kerajaan baharu, tetapi buat masa ini kami meneruskan dengan kerajaan sedia ada dan kepimpinannya," katanya, sambil menambah bahawa Menteri Luar Syria, Bassam Sabbagh, yang dilantik oleh Assad, masih berada di Damsyik.

"Kami bersama rakyat Syria. Kami akan terus mempertahankan dan bekerja untuk rakyat Syria.

"Jadi, kami akan meneruskan kerja kami sehingga diberitahu kelak," katanya di luar dewan majlis.

"Rakyat Syria menantikan penubuhan sebuah negara yang bebas, saksama, mematuhi undang-undang, dan demokratik. Kami akan berganding bahu untuk membina semula negara kami, membaiki kemusnahan, dan membentuk masa depan yang lebih baik untuk Syria", jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Nebenzia dan Wood menyifatkan kejadian di Syria hujung minggu lalu sebagai tidak dijangka.

"Semua pihak terkejut, termasuk anggota majlis ini. Jadi, kita perlu menunggu, memerhati, dan menilai bagaimana keadaan ini akan berkembang," kata Nebenzia.

Rusia sebelum ini melindungi sekutunya Assad secara diplomatik sepanjang perang dengan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan, disokong disokong oleh China.

Majlis Keselamatan PBB telah beberapa kali bersidang sepanjang perang untuk membincangkan situasi politik dan kemanusiaan Syria serta isu senjata kimia.

Serangan kumpulan penentang yang menggulingkan Assad dimulakan oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS).

Sebelum ini dikenali sebagai Nusra Front, HTS merupakan cabang rasmi Al Qaeda di Syria sehingga memutuskan hubungan pada 2016.

HTS masih disenaraikan sebagai kumpulan yang termasuk dalam senarai sekatan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Diplomat berkata, tiada perbincangan mengenai penarikan HTS daripada senarai sekatan tersebut buat masa ini.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD