fb fb fb fb fb

AS benarkan pengecualian sekatan kepada Korea Selatan

FOTO AFP

SEOUL, 13 Januari- Amerika Syarikat (AS) bersetuju memberi pengecualian sekatan kepada Korea Selatan dan membenarkan negara itu membayar jutaan dolar pampasan tertunggak kepada pelabur Iran berhubung pertikaian pada 2010.

Menurut Kementerian Luar, pihaknya telah menerima "lesen khusus" dari Jabatan Perbendaharaan AS membenarkan kerajaan Korea Selatan membayar pampasan kepada Syarikat Iran Dayyani Group.

"Lesen itu membenarkan penggunaan sistem kewangan AS untuk membayar pampasan kepada pelabur Iran," menurut kenyataan Kementerian Luar.

Pada 2018, Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan mengarahkan Seoul membayar 73 bilion won atau AS$61 juta kepada Dayyani Group atas kegagalan mengambil alih Daewoo Electronics pada 2010.

"Lesen tersebut akan berfungsi sebagai asas penting untuk menyelesaikan pertikaian dengan pelabur Iran," jelas kenyataan itu yang turut menyatakan ia akan membantu meningkatkan hubungan dua hala".

Pengumuman itu dibuat selepas lebih seminggu Korea Selatan menghantar diplomat tertinggi ke Vienna untuk berunding dengan wakil AS yang berusaha memulihkan semula perjanjian nuklear Iran 2015.

Iran merupakan rakan perdagangan Asia Barat ketiga terbesar Korea Selatan sebelum Amerika Syarikat secara sepihak menarik diri daripada Perjanjian Nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa dunia seterusnya mengenakan semula sekatan terhadap Iran.

Iran pernah menjadi pembekal minyak utama kepada Korea Selatan yang memiliki sumber bumi terhad dan mengimport peralatan industri, perkakas rumah dan alat ganti kenderaan dari Seoul.

Tahun lepas, Iran mengancam Korea Selatan untuk mengambil tindakan undang-undang jika Seoul enggan mengeluarkan lebih AS$7 bilion dana yang dibekukan untuk penghantaran bekalan minyak. -AFP

Media Baharu