WASHINGTON, 17 April - Amerika Syarikat berkata negara berkenaan akan mengenakan sekatan baharu terhadap program peluru berpandu dan dron Iran selepas serangan di Israel.
AS turut menjangkakan tindakan sekatan itu akan diikuti oleh negara sekutunya.
Kenyataan oleh Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan dibuat selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen mendedahkan langkah sekatan masih berada dalam perbincangan dan ketua dasar luar Kesatuan Eropah Josep Borrell berkata pihaknya sedang berusaha menjadikan tindakan sekatan berkenaan sebagai realiti.
"Dalam beberapa hari lagi, AS akan mengenakan sekatan baharu menyasarkan Iran termasuk program peluru berpandu dan dron.
"Sekatan itu juga akan turut merangkumi Pengawal revolusi Iran dan Kementerian Pertahanan", kata Sullivan dalam kenyataan.
"Sekatan baharu dan langkah-langkah lain akan meningkatkan tekanan berterusan untuk membendung dan mengurangkan kapasiti dan keberkesanan ketenteraan Iran", tambah Sullivan.
Sebelum ini, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen melihat tindakan Iran yang bertindak balas terhadap serangan Israel terhadap konsulatnya di Syria sebagai ancaman kepada kestabilan rantau Asia Barat dan kemusnahan ekonomi.
Yellen turut berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan negara-negara sekutunya bagi menguatkuasakan sekatan bagi mengganggu dan menjejaskan kestabilan kerajaan Iran.
Awal bulan ini, Israel telah melancarkan serangan ke atas Konsulat iran di Syria dan mengakibatkan lapan orang maut.
Sebagai tindak balas, Iran telah bertindak balas pada Sabtu lalu apabila melancarkan lebih 200 dron, peluru berpandu jelajah dan peluru berpandu balistik terhadap Israel.-REUTERS