fb fb fb fb fb

Bom seberat 1,000 paun tidak meletup ditemui di sekolah di Gaza

Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin berkata pada Selasa ia telah menemui bom seberat 1,000 paun yang tidak meletup di dalam sekolah selepas tentera Israel keluar dari bandar utama di selatan Gaza, Khan Younis / Foto AFP

BAITULMAQDIS, 16 April - Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin berkata pada Selasa ia telah menemui bom seberat 1,000 paun yang tidak meletup di dalam sekolah selepas tentera Israel keluar dari bandar utama di selatan Gaza, Khan Younis.

Agensi PBB telah mengetuai "misi penilaian" di Khan Younis selepas tentera Israel berundur dari bandar yang diperangi minggu lepas, kata Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB.

Agensi itu mendapati "cabaran besar untuk melakukan operasi itu dengan selamat adalah dengan adanya senjata tidak meletup (UXO), termasuk bom seberat 1,000 paun di dalam sekolah dan di jalan raya".

"Ribuan orang pelarian dalaman (IDP) memerlukan pelbagai bantuan untuk menyelamatkan nyawa, termasuk kesihatan, air dan sanitasi dan makanan," katanya.

Awal bulan ini, PBB berkata ia akan mengambil "berjuta-juta dolar dan bertahun-tahun untuk menyahcemar Semenanjung Gaza daripada peluru yang tidak meletup".

"Kami mematuhi peraturan praktikal bahawa 10 peratus persenjataan tidak berfungsi seperti yang direka bentuk," kata ketua Perkhidmatan Tindakan Lombong PBB, Charles Birch dalam satu kenyataan awal bulan ini.

"Kami menganggarkan, untuk memulakan pembersihan di Gaza, kami memerlukan kira-kira AS$45 juta." - AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN