fb fb fb fb fb

Jawatankuasa PBB gagal buat syor sebulat suara keanggotaan penuh Palestin

FOTO AFP

NEW YORK, 17 April- Jawatankuasa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempertimbangkan permohonan Pihak Berkuasa Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB "tidak dapat membuat syor sebulat suara" sama ada ia memenuhi kriteria, menurut laporan jawatankuasa.

Pihak Berkuasa Palestin dijangka mendesak Majlis Keselamatan yang dianggotai 15 anggota itu mengundi seawal esok mengenai draf resolusi yang mengesyorkan ia menjadi anggota penuh badan dunia itu, menurut diplomat.

Anggota Majlis Keselamatan, Algeria mengedarkan draf teks semalam.

Keanggotaan itu akan mengiktiraf negara Palestin. Palestin kini adalah negara pemerhati bukan ahli, pengiktirafan de facto terhadap kenegaraan itu diberikan dalam Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai oleh 193 anggota pada 2012.

Namun permohonan untuk menjadi ahli penuh PBB perlu diluluskan oleh Majlis Keselamatan, di mana sekutu Israel iaitu Amerika Syarikat (AS) boleh menyekatnya, dan sekurang-kurangnya mendapat undian dua pertiga daripada Perhimpunan Agung.

AS pada awal bulan lalu berkata, penubuhan negara Palestin yang merdeka harus dilakukan melalui rundingan terus antara kedua-dua pihak dan bukannya di PBB.

Majlis Keselamatan PBB sudah lama menyokong visi dua negara yang tinggal bersebelahan dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf.

Rakyat Palestin mahukan sebuah negara di Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza, namun semua wilayah itu ditawan Israel pada 1967.

Sedikit kemajuan dapat dilihat dalam mencapai kenegaraan Palestin sejak menandatangani Perjanjian Oslo antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin pada awal 1990-an.

Desakan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB datang ketika berada enam bulan dalam perang antara Israel dan Palestin di Gaza, dan ketika Israel memperluaskan penempatan di Tebing Barat yang diduduki.

Jawatankuasa Majlis Keselamatan mengenai kemasukan ahli baharu terdiri daripada 15 ahli majlis dan ia bersetuju dengan laporannya hari ini selepas bertemu dua kali minggu lalu untuk membincangkan permohonan Palestin.

"Mengenai isu sama ada permohonan itu memenuhi semua kriteria untuk menjadi ahli... jawatankuasa tidak dapat membuat cadangan sebulat suara kepada Majlis Keselamatan," kata laporan itu, sambil menambah bahawa 'terdapat pandangan berbeza dinyatakan."

Keanggotaan PBB terbuka kepada "negara yang cintakan keamanan" dan menerima kewajipan dalam Piagam PBB dan mampu serta bersedia untuk melaksanakannya.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI