fb fb fb fb fb

Arkeologi Mesir temui tapak kuil Ratu Hatshepsut dan makam Ratu Teti Sheri

Foto REUTERS

KAHERAH, 12 Januari– Ahli arkeologi Mesir telah berjaya menemui bahagian dinding asas kuil lembah Ratu Hatshepsut yang masih utuh di Luxor, bersama makam Ratu Teti Sheri, nenek kepada Ahmose I, Firaun pertama era Kerajaan Baharu Mesir yang dikenali sebagai Zaman Keemasan.

Penemuan lebih 1,000 blok batu berhias di pinggir kuil pengebumian Hatshepsut diumumkan pada Rabu oleh ketua pasukan, Zahi Hawass, seorang ahli arkeologi Mesir dan bekas Menteri Antikuiti yang telah mengetuai penggalian di tapak tersebut sejak 2022.

Ratu Hatshepsut, pemerintah dinasti ke-18 yang meninggal dunia sekitar tahun 1458 S.M. merupakan salah seorang daripada segelintir wanita yang memerintah Mesir.

"Inilah kali pertama kami menemui 1,500 blok berhias dengan pemandangan yang paling indah pernah saya lihat sepanjang hidup saya, lengkap dengan warna," kata Hawass.

Sebuah tablet batu kapur yang ditemui di tapak itu mengandungi nama arkitek Hatshepsut, Senmut, yang bertanggungjawab ke atas pembinaan kuil tersebut.

Makam Ratu Teti Sheri yang terletak berdekatan pula merupakan makam nenek kepada Ahmose I, yang telah membebaskan Mesir daripada bangsa Hyksos yang menyerang dari arah Timur Sinai.

Beliau meninggal dunia pada tahun kesembilan pemerintahan Ahmose, satu abad sebelum era Hatshepsut.

Makam sederhana ini diukir di dalam batu dan terletak di hujung sebuah gereja berkubah bata lumpur dengan lukisan dinding merah yang dicat di atas lapisan mortar putih.

Penemuan tersebut memberikan pandangan baharu mengenai kehidupan dan sejarah dua ratu berpengaruh dalam sejarah Mesir purba, serta memaparkan keindahan seni dan kejuruteraan zaman tersebut.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD