fb fb fb fb fb

Pentadbiran Biden tunda penguatkuasaan perjanjian Nippon Steel

Foto Reuters

WASHINGTON, 12 Januari – Pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan penangguhan penguatkuasaan keperluan dalam perintah eksekutif yang dikeluarkan pada bulan ini, yang mengarahkan Nippon Steel untuk membatalkan tawaran AS$14.9 bilion bagi pengambilalihan US Steel.

Keputusan itu disahkan oleh kedua-dua syarikat pada Sabtu.

Biden sebelum ini menyekat pengambilalihan yang dirancang oleh Nippon Steel terhadap US Steel atas alasan keselamatan negara pada 3 Januari lalu.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, berkata cadangan perjanjian tersebut telah melalui "analisis yang teliti" oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing di AS (CFIUS), sebuah badan semakan antara agensi.

Penangguhan itu memberi ruang kepada mahkamah untuk menilai cabaran undang-undang yang dibawa oleh kedua-dua syarikat terhadap arahan Biden pada awal bulan ini.

Sebelum ini, kedua-dua pihak diberi tempoh 30 hari untuk membatalkan transaksi mereka.

"Kami gembira kerana CFIUS telah memberi lanjutan sehingga 18 Jun 2025 untuk keperluan dalam perintah eksekutif Presiden Biden yang mengarahkan kami untuk membatalkan transaksi ini secara tetap," menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat.

US Steel dan Nippon Steel kemudiannya mendakwa dalam saman yang difailkan pada Isnin bahawa semakan CFIUS dipengaruhi oleh penentangan berpanjangan Biden terhadap perjanjian tersebut, yang didakwa menghalang mereka daripada mendapatkan semakan yang adil.

Mereka memohon agar mahkamah rayuan persekutuan membatalkan keputusan Biden dan memberikan mereka peluang semakan semula untuk memastikan penggabungan itu dapat dilaksanakan.

CFIUS, yang diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan, bertanggungjawab untuk menilai pengambilalihan syarikat AS oleh pelaburan asing dan transaksi lain yang berhubung dengan kebimbangan keselamatan negara.

CFIUS biasanya membuat keputusan mengenai kes-kes tersebut atau mengemukakan cadangan kepada presiden, namun dalam kes ini, panel tersebut gagal mencapai kata sepakat mengenai sama ada Biden perlu meluluskan atau menolak perjanjian itu, yang menyebabkan beliau membuat keputusan sendiri.

Biden dan penggantinya, Donald Trump, kedua-duanya menyuarakan penentangan terhadap pengambilalihan syarikat keluli AS oleh syarikat Jepun itu semasa kempen pilihan raya November, yang dimenangi oleh Trump.

CFIUS jarang menolak perjanjian melibatkan negara-negara Kumpulan Tujuh yang rapat bersekutu, termasuk Jepun.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN