SEOUL, 12 Januari – Presiden Korea Selatan yang digantung, Yoon Suk Yeol, tidak akan menghadiri perbicaraan pertama kes pemecatannya minggu depan atas alasan bimbang keselamatannya, kata peguamnya pada Ahad.
Yoon kini berlindung di kediaman Presiden dan dijaga oleh pasukan pengawal elit sejak beliau digantung dan dipecat bulan lalu selepas pengisytiharan undang-undang tentera yang mencetuskan kekacauan politik di negara itu.
Beliau telah menolak untuk bertemu pendakwa raya dan penyiasat.
Awal bulan ini pasukan pengawal presiden berjaya menggagalkan percubaan untuk menangkapnya selepas konfrontasi tegang yang berlangsung selama beberapa jam.
Mahkamah Perlembagaan telah menetapkan lima tarikh perbicaraan dari 14 Januari hingga 4 Februari, yang akan diteruskan walaupun tanpa kehadirannya.
"Masalah keselamatan dan potensi insiden telah timbul.
"Oleh itu, Presiden tidak dapat hadir pada perbicaraan 14 Januari," kata peguam Yoon Kab-keun dalam satu kenyataan kepada AFP.
"Presiden bersedia untuk hadir pada bila-bila masa selepas isu keselamatan diselesaikan," katanya.
Mahkamah akan memutuskan sama ada untuk mengekalkan pemecatan beliau atau mengembalikannya ke jawatan presiden.
Sementara itu, penyiasat yang ingin menyoal Yoon atas tuduhan pemberontakan berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera sedang merancang percubaan penangkapan baharu.
Pasukan penyiasat dari Pejabat Penyiasatan Rasuah (CIO) dan polis sedang bersedia untuk percubaan terakhir mereka.
Menurut CIO, sesiapa yang menghalang usaha tersebut boleh turut ditahan, dan polis dilaporkan telah mengadakan mesyuarat bersama komander tertinggi pada Jumaat untuk merancang tindakan itu.
Ketua keselamatan pengawal presiden terdahulu, Park Chong-jun, yang meletak jawatan pada Jumaat dan digantikan oleh penyokong tegar Yoon, berkata kepada pemberita bahawa sebarang percubaan penangkapan semula mesti mengelakkan pertumpahan darah.
Pejabat Penyiasatan Nasional, sebuah unit polis, menghantar memo kepada pegawai kanan di Seoul untuk bersiap sedia menggerakkan 1,000 penyiasat bagi usaha tersebut, lapor agensi berita Yonhap.
Sejak krisis ini berlaku, protes daripada penyokong dan penentang Yoon kerap diadakan di ibu kota Korea Selatan.
Walaupun menghadapi cabaran politik, parti pemerintah Yoon, Parti Kuasa Rakyat, mencatat peningkatan dalam tinjauan pendapat.
Kajian terbaharu oleh Gallup yang diterbitkan pada Jumaat menunjukkan kadar sokongan parti itu meningkat kepada 34 peratus berbanding 24 peratus tiga minggu lalu.-REUTERS.