fb fb fb fb fb

Argentina sahkan empat kematian penyakit Legionnaires

(Pegawai polis di pintu masuk Hospital Luz Medica di Tucuman, Argentina/ AFP)

BUENOS AIRES, 4 September- Pihak berkuasa kesihatan Argentina semalam mengesahkan empat individu dirawat di sebuah klinik di wilayah Tucuman meninggal dunia akibat penyakit Legionnaires, jangkitan kuman yang jarang berlaku pada paru-paru.

Menteri Kesihatannya, Carla Vizzotti, berkata Legionnaires dikenal pasti punca utama radang paru-paru, selepas mereka mengalami demam panas, sakit badan dan kesukaran bernafas.

Kematian mereka berlaku sejak Isnin lalu, di sebuah klinik di bandar San Miguel de Tucuman.

Terbaru semalam, membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang mempunyai masalah kesihatan, selain seorang wanita berusia 70 tahun yang menjalani pembedahan di klinik itu turut menjadi mangsa.

Menteri Kesihatan wilayah, Luis Medina Ruiz pula berkata, tujuh lagi kes simptomatik sudah dikenal pasti, semuanya dari lokasi sama dan hampir kesemuanya membabitkan kakitangan klinik.

Daripada tujuh kes itu, katanya, empat masih dirawat di hospital, tiga daripadanya menerima bantuan pernafasan dan tiga yang mengalami gejala ringan ditempatkan di bawah pengawasan di rumah.


(Menteri kesihatan wilayah, Luis Medina Ruiz, (kiri) dan Menteri Kesihatan Argentina,
Carla Vizzotti 
(dua dari kiri) semasa sidang media di Tucuman, Argentina/ AFP)

Penyakit yang pertama kali muncul ketika mesyuarat kumpulan veteran American Legion pada 1976 di bandar Philadelphia Amerika Syarikat (AS) itu dikaitkan dengan air tercemar atau sistem pendingin hawa yang kotor.

Ketika wabak di Tucuman itu pertama kali dikesan, doktor menguji pesakit bagi COVID-19 ekoran simptom yang dialami adalah sama, namun semuanya negatif.

Sampel kemudian dihantar ke Institut Malbran di Buenos Aires dan hasil ujian mengesahkan penyakit Legionnaires.

Rabu lalu, Medina Ruiz berkata faktor udara toksik dan alam sekitar tidak boleh diketepikan dan untuk itu, sistem kawalan persekitaran di klinik terbabit sedang diperiksa.

Sementara Vizzotti berkata, pihak berkuasa sedang berusaha memastikan klinik itu selamat untuk pesakit dan kakitangannya.

Presiden Kolej Perubatan Tucuman, Hector Sale pada awal minggu ini menggambarkan penularan jangkitan bakteria itu sebagai 'agresif'.

Namun, tambah beliau, jangkitan tidak mudah menular kepada orang lain selepas tiada kontak rapat daripada 11 kes itu dikesan mengalami gejala dijangkiti. - AFP

Media Baharu