fb fb fb fb fb

Loji nuklear utama Ukraine sekali lagi kehilangan kuasa- IAEA

(Loji Tenaga Nuklear Zaporizhzhia / REUTERS)

KIEV, 4 September- Sebuah loji jana kuasa nuklear utama di Ukraine sekali lagi kehilangan kuasa elektrik bagi penyelenggaraannya, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) semalam.

Agensi antarabangsa itu turut memberi amaran bahawa ia meningkatkan kebimbangan terhadap kelangsungan operasi loji ketika pertempuran Rusia-Ukraine terus meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

IAEA berkata, loji Zaporizhzhia Ukraine yang terbesar di Eropah, menyaksikan baki talian kuasa luaran utama terakhirnya terputus biarpun talian rizab dapat terus membekalkan elektrik ke grid.

IAEA, dalam satu kenyataannya menjelaskan hanya satu daripada enam reaktor kekal beroperasi di stesen itu.

Loji itu yang dikawal Moscow sejak tentera Rusia menyerang Ukraine pada akhir Februari, sudah menjadi titik utama konflik, dengan setiap pihak menyalahkan satu sama lain terhadap serangan berhampiran lokasi itu.


(Anggota tentera Rusia berkawal di loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia di Enerhodar, Ukraine/ AP)

Sementara itu, kebuntuan mengenai eksport gas dan minyak Rusia berterusan minggu ini apabila Moscow berikrar untuk memastikan saluran paip gas utamanya ke Jerman ditutup dan negara-negara G7 mengumumkan had harga yang ditetapkan untuk eksport minyak Russia.

Krisis tenaga itu adalah kesan pencerobohan enam bulan Presiden Rusia, Vladimir Putin, ke atas Ukraine, melanjutkan pertelingkahan antara Moscow dan negara Barat, ketika rantau itu bersiap untuk musim sejuk yang semakin hampir.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata Eropah akan berdepan krisis tenaga yang besar sekiranya saluran paip Nord Stream 1 terus ditutup oleh Russia.

"Rusia akan mengakibatkan gangguan tenaga yang boleh memberi kesan terhadap semua penduduk Eropah untuk musim sejuk ini," katanya.

Zelensky, yang menyalahkan serangan Rusia atas gangguan terhadap operasi loji nuklear sebelum ini, bagaimanapun menjelaskan kebocoran radiasi dapat dielakkan.

Moscow menyalahkan sekatan Barat dan isu teknikal terhadap sebarang gangguan tenaga, sementara Eropah pula menuduh Rusia menambah bekalan senjata di loji berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi pencerobohan tenteranya.

Stesen jana kuasa nuklear Zaporizhzhia, dalam satu kenyataan di Telegram, berkata reaktor kelima dimatikan akibat serangan berterusan Rusia dan kapasiti tersedia dari baki simpanan terakhir tidak mencukupi untuk mengendalikan dua lagi reaktor.

Serangan berterusan menyebabkan kebimbangan berlakunya bencana radiasi dan sebarang kemalangan atau kebocoran nuklear di kemudahan itu akan menyebabkan krisis kemanusiaan besar, kata Persatuan Palang Merah Antarabangsa. - REUTERS

Media Baharu