RIYADH, 4 Januari - Kementerian Kesihatan Arab Saudi menolak langkah kawalan lebih ketat ketika varian Omicron menular, kata jurucakap rasmi kementerian itu, Dr Muhammad Al-Abdel Ali.
"Corak jangkitan di Arab Saudi ketika ini tidak sama seperti yang berlaku ketika awal penularan COVID-19, 2 tahun lalu", katanya.
Tambahnya, Arab Saudi juga sudah melakukan yang terbaik untuk membendung penularan COVID-19.
"Tahap kesedaran orang ramai terhadap virus ini juga tinggi. Begitu juga dengan daya imun penduduk yang tinggi selepas kerajaan memperhebatkan program vaksinasi negara", katanya dalam wawancara rancangan 'YaHalaShow' yang disiarkan melalui saluran Rotana Khalijiya semalam.
Menurutnya lagi, COVID-19 di seluruh dunia sudah melalui beberapa fasa dan Arab Saudi turut melalui tempoh sama.
Dr. Muhammad berkata, varian Omicron dikesan di setiap negara termasuk Arab Saudi dan sudah merebak ke seluruh dunia.
"Maklumat yang dikumpulkan menunjukkan Omicron menular amat pantas dan ini lonjakan jumlah kes jangkitan di Arab Saudi," katanya.
Di Arab Saudi kebanyakan kes jangkitan yang dipantau adalah dalam kalangan penduduk yang belum menerima vaksin atau lengkap vaksinasi.
Sehingga kini, kira-kira 95 peratus penduduk Arab Saudi telah melengkapkan vaksinasi.
"Penularan Omicron akan reda tidak lama lagi, terutama sekali selepas langkah pencegahan dilaksanakan semula," katanya. -AFP