MANILA, 4 Januari - Filipina akan memperluas perintah sekatan COVID-19 di bandaraya berkenaan mulai esok, membabitkan lebih 11 juta penduduknya susulan peningkatan kes jangkitan ketika ini.
Sekatan yang dikenakan sehinggga pertengahan bulan dikeluarkan sehari selepas Manila beralih ke Tahap Amaran Ketiga.
Jurucakap Presiden, Karlo Nograles berkata, Wilayah Bulacan, Cavite dan Rizal di sekitar Manila diletakkan di bawah amaran ketiga tertinggi susulan lonjakan mendadak kes COVID-19.
Kes jangkitan harian melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan sehingga awal bulan ini, sekali gus mendorong jabatan kesihatan memberi amaran jumlah kes mungkin meningkat beberapa hari lagi berikutan pengesanan kes varian Omicron.
"Kami membuat anggaran awal. Andaiannya adalah Omicron lapan kali lebih mudah tersebar berbanding Delta dan kemuncaknya akan berlaku pada akhir Januari," kata Rosario Vergeire kepada pemberita.
Sekatan itu menetapkan penduduk tidak divaksin dilarang keluar rumah kecuali untuk membeli barang keperluan atau bersenam.
Restoran, taman, gereja dan salun kecantikan akan beroperasi pada kapasiti lebih rendah manakala kelas secara bersemuka dan beberapa jenis sukan digantung.
Menurut data, sekitar 70 peratus penduduk di Metro Manila lengkap divaksin namun kurang daripada separuh penduduk negara itu diberi vaksin lengkap.-AFP