BANGKOK, 24 Disember - Perdana Menteri sementara Thailand, Anutin Charnvirakul, diumumkan sebagai calon perdana menteri Parti Bhumjaithai bagi menghadapi pilihan raya umum pada awal Februari tahun depan, di sebalik landskap politik negara itu dipengaruhi sentimen nasionalisme susulan konflik sempadan dengan Kemboja.
Pelantikan Anutin sebagai calon perdana menteri dibuat kurang 100 hari selepas beliau memegang jawatan tersebut, sebelum mengambil keputusan membubarkan Parlimen awal bulan ini susulan ancaman undi tidak percaya terhadap kerajaan minoritinya.
Ketika berucap di hadapan ahli dan penyokong parti, Anutin menyifatkan pilihan raya 8 Februari 2026 sebagai amat penting buat Parti Bhumjaithai sejak penubuhannya pada tahun 2008, sambil menegaskan kesiapsiagaan parti itu untuk kembali memerintah.
"Thailand kini meletakkan harapan tinggi terhadap Bhumjaithai untuk menerajui kepimpinan negara.
Dan sekiranya diberi mandat semula, barisan kepimpinan utama kerajaan akan dikekalkan, termasuk Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas, Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow dan Menteri Perdagangan Suphajee Suthumpun," kata Anutin.
Penganalisis menjangkakan Anutin berpotensi memperoleh sokongan daripada peningkatan sentimen nasionalisme, namun pilihan raya kali ini dijangka sengit tanpa sebarang parti meraih majoriti mutlak.
Sementara itu, calon perdana menteri Parti Pheu Thai, Yodchanan Wongsawat menyatakan kesediaan untuk membentuk kerajaan gabungan jika diperlukan.
Pada masa sama, tinjauan Institut Pentadbiran Pembangunan Nasional menunjukkan Parti Bhumjaithai berada di kedudukan keempat dengan sokongan 9.92 peratus, manakala lebih 32 peratus pengundi masih belum membuat keputusan.
Parti Bhumjaithai sebelum ini menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya 2023 dan menyertai kerajaan gabungan yang diterajui Pheu Thai sebelum menarik diri pada Jun lalu.
Krisis politik di Thailand berterusan selepas bekas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Ogos, sekali gus membuka laluan kepada Anutin menerajui kerajaan sebelum perjanjian politik terbaharu gagal dan membawa kepada pilihan raya mengejut Februari ini.- REUTERS