WASHINGTON, 6 Mei- Presiden AS, Donald Trump pada Isnin menolak kecaman terhadap imej AI dirinya berpakaian seperti paus yang dimuat naik oleh White House di media sosial, menyifatkannya sebagai gurauan ringan.
Namun, pakar komunikasi berpendapat perkara itu bukan sesuatu yang kelakar.
Imej-imej yang dimuat naik hujung minggu lalu menunjukkan Trump memakai vestmen paus berwarna putih dan satu lagi memegang pedang cahaya merah seperti watak jahat dalam filem Star Wars.
Ia dianggap sebahagian taktik provokatif yang biasa digunakan Trump untuk membakar semangat penyokong dan memancing reaksi pengkritik.
Trump sememangnya dikenali dengan visual yang berani sepanjang kerjaya politiknya, tetapi pakar berpendapat penggunaan imej AI mencipta sempadan baharu yang boleh mengelirukan fakta dan rekaan.
“Saya rasa kita sedang lihat fenomena baharu gabungan kuasa media sosial dan AI untuk naratif politik,” kata John Wihbey dari Northeastern University.
Beliau menjangka lebih ramai ahli politik global akan mula menggunakan gabungan AI dan media sosial dengan cara yang lebih kreatif.
Trump memberitahu wartawan bahawa imej paus itu hanyalah gurauan yang dimuat naik di akaun Truth Social miliknya sebelum dikongsi semula oleh White House.
“Saya tiada kaitan pun. Saja nak bergurau. Biasalah, kena ada sikit hiburan,” katanya.
White House tidak menjawab soalan mengenai siapa yang memuat naik imej itu dan siapa penciptanya. Namun, bagi ramai penganut Katolik di Amerika Syarikat dan Itali, imej Trump sebagai wakil Tuhan di bumi dianggap menghina.
Bekas Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi, menyelar imej itu di X, menyifatkannya sebagai menghina institusi agama dan menggambarkan Trump sebagai “badut.”
Penganalisis Demokrat, Michael Ceraso, melihat tindakan memuat naik imej AI itu sebagai strategi untuk mencipta “buzz.” Katanya, Trump adalah “presiden influencer pertama” dan beliau menasihatkan Demokrat supaya tidak terjerat dengan isu-isu remeh sebegini.
Trump, katanya, banyak mengambil inspirasi daripada dunia gusti profesional: “Tak kisah jadi jahat atau baik, yang penting dapat perhatian.”
Sebelum ini, Trump pernah memuat naik imej AI dirinya sebagai raja, gangster ala Al Capone, dan resort pantai di Gaza yang dilanda perang.
Pakar retorik presiden di Texas A&M University, Jennifer Mercieca, berkata Trump cuba mencipta imej visual dirinya sebagai wira ketika populariti merudum. “Polisinya tak popular, presidensinya pun tak popular. Ini usaha cipta fantasi visual konon dia hero,” katanya.-REUTERS