SYDNEY, 6 Mei- Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon mengemukakan usul untuk melarang penggunaan media sosial oleh remaja bawah 16 tahun bagi melindungi mereka daripada bahaya kandungan dalam talian.
Luxon membentangkan undang-undang baharu itu yang mewajibkan syarikat media sosial mengesahkan pengguna berumur sekurang-kurangnya 16 tahun atau berdepan denda sehingga NZ$2 juta (AS$1.2 juta).
Langkah itu mengikut model undang-undang ketat yang dilaksanakan di Australia tahun lalu.
"Ini tentang melindungi anak-anak kita. Syarikat media sosial mesti memainkan peranan dalam memastikan keselamatan mereka," kata Luxon.
Menurutnya, ramai ibu bapa menyuarakan kebimbangan terhadap kesan negatif media sosial terhadap anak-anak mereka.
"Mereka beritahu kami betapa sukarnya mengawal akses anak-anak kepada media sosial," ujarnya lagi.
Luxon berharap rang undang-undang itu mendapat sokongan daripada dua lagi parti dalam gabungan kerajaan untuk kelulusan. -AFP