fb fb fb fb fb

Angkasawan OKU pertama dapat 'lampu hijau' jalankan misi di ISS

John McFall, seorang pakar bedah berusia 43 tahun dari Britain dan bekas atlet Paralimpik yang kehilangan kaki akibat kemalangan motosikal ketika berusia 19 tahun

PARIS, 14 Februari- Angkasawan pertama dengan kecacatan fizikal telah diberikan kelulusan untuk menjalani misi di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), umum Agensi Angkasa Eropah (ESA) pada Jumaat.

John McFall, seorang pakar bedah berusia 43 tahun dari Britain dan bekas atlet Paralimpik yang kehilangan kaki akibat kemalangan motosikal ketika berusia 19 tahun, berkata beliau amat berbangga dengan pencapaian tersebut.

Sejak mengumumkan McFall sebagai ahli simpanan angkasawan pada 2022, ESA telah menjalankan penilaian mengenai kemungkinan seseorang yang menggunakan prostesis untuk menjadi anggota kru dalam misi angkasa.

Pada Jumaat, ESA mengumumkan, McFall telah menerima kelulusan perubatan untuk menjalani misi berdurasi panjang di ISS.

McFall menekankan bahawa beliau "relatif pasif" dalam proses tersebut dan hanya perlu berada dalam keadaan sihat secara perubatan serta melaksanakan tugas yang diperlukan.

"Ini jauh lebih besar daripada diri saya," katanya dalam satu sidang media atas talian.

Tiada tarikh yang ditetapkan untuk McFall mendapatkan peluang untuk menjadi apa yang digelar ESA sebagai "parastronaut" pertama.

"Sekarang dia adalah angkasawan seperti semua orang yang ingin terbang ke stesen angkasa, menunggu penugasan misi," kata Pengarah Eksplorasi Manusia dan Robotik ESA, Daniel Neuenschwander.

Pengumuman ESA itu dibuat ketika inisiatif kepelbagaian, kesaksamaan, dan inklusi (DEI) sedang diserang oleh pentadbiran AS yang baru di bawah Donald Trump.

"Kita kini memasuki dunia yang sedikit berubah dari perspektif DEI, daripada salah satu rakan kongsi kami di Stesen Angkasa Antarabangsa," kata Neuenschwander.

"Kami akan terus dengan nilai-nilai Eropah kami," tegasnya, sambil menambah bahawa semua rakan kongsi ISS termasuk Amerika Syarikat telah memberikan kelulusan perubatan kepada McFall.

Fasa seterusnya dalam kajian kebolehlaksanaan ini akan melihat beberapa peralatan yang diperlukan, termasuk prostesis, supaya McFall dapat mengatasi cabaran tambahan di angkasa.

McFall berkata, teknologi yang sedang dibangunkan itu akan memberi manfaat kepada pengguna prostesis dalam masyarakat secara umum juga.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE