BEIJING, 19 Disember- Sekurang-kurangnya 118 orang terkorban dan ratusan orang cedera dalam kejadian gempa bumi di wilayah Gansu.
Menurut pihak berkuasa wilayah, di Daerah Gansu, seramai 105 terbunuh setakat pagi tadi, hampir 400 orang mengalami kecederaan dan 16 orang daripadanya dalam keadaan kritikal.
Jumlah kematian di Qinghai meningkat kepada sekurang-kurangnya 13 orang dengan 182 orang cedera. Manakala, 20 orang lagi masih hilang.
Pihak berkuasa menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, operasi menyelamat lebih mencabar, susulan cuaca sejuk.
Media tempatan melaporkan gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggegarkan kawasan terpencil dan pergunungan di pinggir utara dataran tinggi Qinghai-Tibet malam tadi.
Agensi berita Xinhua melaporkan kira-kira 2,200 anggota bomba wilayah Gansu dan 260 pekerja penyelamat telah dihantar ke zon bencana. Ratusan anggota keselamatan turut dikerah.
Wilayah itu, yang memperuntukkan 20 juta yuan ($2.8 juta) kepada kerajaan tempatan untuk urusan kecemasan, menghantar bekalan termasuk 2,600 khemah, 10,400 katil lipat, 10,400 selimut, 10,400 tilam dan 1,000 set dapur.
Sementara itu, Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), memaklumkan gempa bumi melanda daerah Jishishan di Gansu berlaku pada pukul 11.59 malam tadi, berada pada kedalaman 10 km (6.2 batu).
Pusat gempa berada 5km dari sempadan antara Gansu dan wilayah jiran, Qinghai, di mana gegaran kuat turut dirasai.
Sebanyak sembilan gegaran susulan pada magnitud 3.0 dan ke atas direkodkan pada pagi Selasa, dua daripadanya berukuran 4.0 pada magnitud, kata CENC. Gegaran turut dirasai sejauh 1,000 km di tengah wilayah Henan.
Kira-kira 3,000 km dari Jishishan di wilayah Xinjiang, satu lagi gempa bumi melanda pada 9.46 pagi waktu tempatan (0146 GMT) Selasa, dengan magnitud kira-kira 5.5 dan pada kedalaman 10km, kata CENC.
Gempa bumi kuat melanda daerah itu direkodkan pada 2019.-REUTERS