fb fb fb fb fb

Aktivis protes bakar kereta api, empat terbunuh di Bangladesh

Pasukan unit jenayah memeriksa kereta api yang dibakar oleh aktivis yang protes mendesak kerajaan meletak jawatan di Dhaka, Bangladesh/FOTO REUTERS

DHAKA, 19 Disember  – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh ketika penunjuk perasaan anti kerajaan bertindak membakar tiga gerabak kereta api ekspres dalam kejadian di Bangladesh hari ini.

Golongan aktivis itu mendesak kerajaan supaya meletakkan jawatan menjelang pilihan raya pada bulan depan.

 “Penyokong anti kerajaan bertindak membakar tiga gerabak kereta api ekspres,” kata pegawai perkhidmatan bomba Shajajahan Shikder.

Katanya, empat mayat telah dikeluarkan dari sebuah gerabak kereta api tersebut.

 Manakala, polis memaklum sehingga kini pihaknya belum mengenal pasti berapa ramai mangsa terperangkap dalam kereta api yang menuju ke ibu kota Dhaka dari daerah Netrokona.

 Pada 28 Oktober lalu aktivitis mengadakan perhimpunan yang menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan.

 Dilaporkan berpuluh-puluh bas dan kenderaan telah dibakar dan membunuh enam orang  dalam kejadian tersebut.

 Sehingga setakat ini, tiada sebarang komen daripada pihak kerajaan.

 Parti pembangkang utama Bangladesh iaitu Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menyatakan akan memboikot pilihan raya umum akan datang jika Perdana Menteri, Sheikh Hasina tidak memberi laluan kepada kerajaan berkecuali untuk menjalankan pilhan raya

 Hasina menginginkan tempoh lima tahun lagi untuk kekal memegang jawatan bagi penggal keempat berturut-turut, berulang kali menolak penyerahan kuasa kepada kerajaan sementara.

 Daripada 300 kawasan pilihan raya itu, parti Liga Awami Hasina telah berkongsi 26 dengan sekutunya Parti Jatiya, sekali gus membolehkan mereka meletakkan calon di 283 kerusi.

 Kumpulan hak asasi menuduh kerajaan menyasarkan pemimpin dan penyokong pembangkang. 

 Namun kerajaan menafikan tuduhan itu meskipun menerima tekanan daripada negara-negara Barat untuk mengadakan pilihan raya yang bebas, adil dan berpartisipasi.

 Panel pilihan raya Bangladesh mengerahkan tenteranya untuk menghalang sebarang perhimpunan keganasan dari 29 Disember.

GRACE AISYAH KEDAYAN