fb fb fb fb fb

Angka korban 'banjir lahar' meningkat kepada 34 mangsa

Foto AFP

TANAH DATAR, Indonesia, 12 Mei- Sekurang-kurangnya 34 orang maut dan lagi 16 dilaporkan hilang selepas banjir kilat dan aliran lahar yang sejuk dari sebuah gunung berapi paling aktif melanda bahagian barat Indonesia, menurut seorang pegawai bencana tempatan pada Ahad.

Hujan lebat selama berjam-jam mencetuskan banjir di dua daerah di wilayah Sumatera Barat pada lewat petang Sabtu, menyebabkan bongkah batu dan abu bertaburan dari Gunung Marapi.

"Sehingga kini, data kami menunjukkan 34 orang meninggal dunia, iaitu 16 di Agam dan 18 di Tanah Datar. Sekurang-kurangnya 18 mangsa lain cedera. Kami juga masih mencari 16 mangsa lagi," kata jurucakap agensi bencana Sumatera Barat, Ilham Wahab.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik memberitahu pemberita, tiga lagi meninggal dunia, namun mereka masih belum disahkan pihak berkuasa lain.

Daerah Agam dan Tanah Datar dilanda banjir kilat dan aliran lahar yang sejuk pada kira-kira pukul 10.30 malam pada Sabtu, menurut agensi mencari dan menyelamat Basarnas.

Aliran lahar sejuk membawa bersamanya debu, pasir dan batu kerikil daripada cerun gunung berapi.

Kira-kira 370,000 orang tinggal di Tanah Datar, di mana beberapa masjid dan kolam awam turut rosak, selain batu besar dan pokok tumbang turut kelihatan berselerakan di atas tanah.

Di daerah Tanah Datar, beberapa buah masjid dan sebuah kolam renang awam musnah di kawasan itu dengan batu-batu besar dan kayu balak bertaburan di sekitarannya, menurut seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

Di Lembah Anai, yang merupakan sebuah tempat pelancongan popular dengan air terjun di Tanah Datar, sebatang jalan raya yang menghubungkan bandar-bandar Padang dengan Bukit Tinggi mengalami kerosakan teruk dan akses jalan raya untuk kereta, terputus.

Pemerintah daerah itu telah membuka beberapa pusat pemindahan dan pondok kecemasan di beberapa kawasan di sekitar daerah Agam dan Tanah Datar.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI