(Pasukan penyelamat membantu mangsa banjir di Kentucky, Amerika Syarikat/AFP)
JACKSON, 2 Ogos- Angka korban akibat banjir di timur Kentucky meningkat kepada 35 orang pada Isnin. Hujan lebat yang berterusan menyukarkan kerja-kerja pembersihan serta operasi mencari dan menyelamat.
Gabenor, Andy Beshear dalam laman Twitter menjangkakan angka kematian akan terus meningkat apabila usaha mencari dan menyelamat diteruskan beberapa hari lagi apabila pasukan penyelamat memasuki kawasan yang tidak boleh dilalui sebelum ini.
"Kami telah mengesahkan lebih banyak kematian akibat banjir di timur Kentucky. Berdoalah untuk keluarga ini dan mereka yang hilang", kata Beshear.
Usaha menyelamat lebih sukar disebabkan hujan yang berterusan. Keadaan diburukkan dengan kemungkinan berlakunya ribut di kawasan yang terjejas.
(Permandangan dari udara yang menunjukkan kawasan yang dilanda banjir
di timur Kentucky/AFP)
Kentucky menerima hujan lebih 20 sentimeter dalam tempoh 24 jam sepanjang minggu lalu, mengakibatkan berlakunya banjir kilat.
Paras air di Sungai Kentucky di Whitesburg meningkat kepada 20 kaki dalam tempoh beberapa jam.
Beberapa kawasan di pergunungan Appalachia juga, masih terputus hubungan berikutan banjir yang menyebabkan jalan raya menjadi sungai, menghanyutkan jambatan dan rumah.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengeluarkan pengisytiharan bencana besar di negeri itu dan mengarahkan bantuan persekutuan dihantar ke kawasan yang terjejas oleh ribut, banjir dan tanah runtuh.
Banjir yang melanda bahagian timur Kentucky timur adalah luar biasa dan saintis berpendapat ia menunjukkan tanda jelas perubahan iklim.
Pada Disember tahun lalu, hampir 60 orang terbunuh di barat Kentucky akibat puting beliung.-AFP