fb fb fb fb fb

Angka korban akibat gempa di Jepun meningkat, lebih 200 orang masih hilang

Foto AFP

ANAMIZU, 5 Januari- Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Jepun meningkat kepada 94 orang, 464 dilapor cedera serta 222 orang masih hilang.

Pasukan operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran mencari mangsa yang hilang susulan cuaca buruk dan jalan rosak.

Ribuan penyelamat dari seluruh Jepun bergelut dengan kesan gempa, dengan jalan raya dipenuhi lubang besar selain kekerapan tanah runtuh yang tinggi di wilayah tengah Ishikawa, sekali gus menjangkau hampir ratusan orang dalam komuniti terkandas.

Menurut pegawai penyelamat, dua orang wanita warga emas telah berjaya ditarik keluar hidup-hidup daripada runtuhan di rumah mereka di Wajima pada Khamis, 72 jam setelah gempa berlaku.

"Harapan untuk mencari baki mangsa yang terselamat semakin pudar dengan hujan, salji serta ramalan suhu menurun dalam beberapa hari akan datang," kata pegawai penyelamat.

Bandar pelabuhan Wajima di Semenanjung Noto adalah antara yang paling teruk dilanda bencana itu, dengan jelaga masih di udara dan kebakaran besar yang memusnahkan ratusan infrastruktur pada hari pertama.

"Saya sedang berehat pada Hari Tahun Baru apabila gempa berlaku. Saudara-mara saya semua berada di sana dan kami berseronok," kata Hiroyuki Hamatani, 53, kepada AFP di tengah-tengah kereta yang terbakar, bangunan yang rosak dan tiang telegraf yang tumbang.

Pihak berkuasa berkata pada petang Jumaat bahawa 222 orang tidak dapat dikesan termasuk 121 orang di Wajima dan 82 orang di Suzu.

Kira-kira 30,000 isi rumah tidak mempunyai bekalan elektrik di wilayah Ishikawa dan 89,800 rumah tidak mempunyai bekalan air, ratusan orang berteduh di pusat perlindungan kerajaan.

"Kami melakukan yang terbaik untuk menjalankan operasi menyelamat di kampung terpencil. Bagaimanapun, realitinya pengasingan itu belum dapat diselesaikan setakat yang kami mahu," kata gabenor wilayah, Hiroshi Hase pada Jumaat.

Jepun mengalami beratus-ratus gempa bumi setiap tahun dan kebanyakannya tidak menyebabkan kerosakan, dengan pematuhan kod bangunan yang tegas dilaksanakan selama lebih empat dekad.

Gempa bumi telah melanda wilayah Noto dengan kekuatan dan kekerapan yang semakin meningkat, sejak lima tahun lalu.

Negara itu dihantui oleh gempa bumi besar 9.0 magnitud pada 2011, yang mencetuskan tsunami sehingga menyebabkan kira-kira 18,500 orang maut atau hilang.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM