fb fb fb fb fb

Angka kematian akibat kebakaran hutan di Chile meningkat kepada 16 orang

(Foto AFP)

CONCEPCION, CHILE, 5 Februari- Angka kematian akibat kebakaran hutan yang melanda selatan Chile, meningkat kepada 16 orang.

Dengan angka terbaharu itu, tiga lagi kematian disahkan daripada jumlah yang diumumkan lewat Jumaat, sebanyak 13 orang.

Menurut pihak berkuasa sebelum ini, 11 daripada kematian adalah di bandar Santa Juana, wilayah Concepcion.

Kebakaran yang dicetuskan oleh gelombang haba dahsyat itu telah mengancam beberapa bandar, memusnahkan sekurang-kurangnya 88 rumah dan hutan seluas 47,000 hektar, kata pegawai.

Sementara itu, Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan memberitahu, sekurang-kurangnya 24 orang cedera akibat kebakaran tersebut.

Katanya, terdapat 251 kebakaran aktif dan 80 daripadanya di luar kawalan.

(Usaha memadamkan kebakaran di Santa Juana, wilayah Concepcion, Chile pada 3 Februari 2023/Foto AFP)

Chile sebelum ini mengisytiharkan bencana di beberapa kawasan tengah selatan termasuk wilayah Nuble serta Biobio dan membenarkan sumber tambahan dikejarkan ke kawasan itu.

Namum, kebakaran turut menjejaskan wilayah Maule dan La Araucania.

Secara keseluruhan, kira-kira 2,300 anggota bomba dan 75 pesawat telah dikerahkan ke wilayah itu.

Presiden Gabriel Boric turut menangguhkan cutinya untuk melawat kawasan yang terjejas.

Gelombang haba, dengan suhu mencecah 40 darjah Celcius telah menimbulkan kebimbangan berulangnya kejadian pada 2017, apabila kebakaran di wilayah yang sama menyebabkan 11 orang maut dan memusnahkan 1,500 rumah.-AFP

Media Baharu