(Seorang penduduk tempatan mengambil imej bangunan kediaman yang
rosak berikutan serangan Rusia di Kherson pada 3 Februari 2023/Foto AFP)
KIEV, 5 Februari- Lebih setengah juta isi rumah di bandar Odesa, selatan Ukraine terputus bekalan elektrik ekoran kebakaran pencawang elektrik.
Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmygal berkata, situasi yang dihadapi ketika ini amat rumit.
Pencawang terbabit dikhuatiri tidak lagi mampu bertahan kerana telah berulang kali rosak akibat serangan peluru berpandu tentera Rusia.
(Denys Shmygal/Foto fail AFP)
Gabenor wilayah Odesa, Maksym Marchenko menyifatkan kemalangan itu sebagai 'serius', sambil menambah menteri tenaga dan ketua pengendali grid elektrik 'Ukrenergo' telah dihantar ke bandar berkenaan untuk meninjau keadaan.
"Sejumlah penjana akan dihantar ke wilayah Odesa dalam tempoh 24 jam akan datang. Kami menjangkakan penjana pertama akan tiba malam ini," katanya.
Selama berbulan-bulan Moscow secara sistematik menyasarkan grid tenaga Ukraine, menyebabkan berjuta-juta penduduk hidup dalam kegelapan dan kesejukan.-AFP