fb fb fb fb fb

Anggota keselamatan Pakistan maut dalam serangan di Khyber Pakhtunkhwa

FOTO HIASAN

PESHAWAR, 2 Februari- Empat anggota pasukan keselamatan Pakistan dan pemandu mereka terbunuh dalam satu serangan bersenjata di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut negara itu, pada Sabtu.

Menurut pihak polis, kenderaan yang dinaiki mereka telah diserang oleh militan bersenjata sebelum terbakar dalam kejadian berbalas tembakan.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Kawasan pergunungan yang bersempadan dengan Afghanistan sering menjadi sasaran serangan kumpulan jihad dan pemisah yang mensasarkan pasukan tentera serta polis.

Serangan tersebut berlaku hanya sehari selepas kumpulan militan pemisah menyerang hendap pasukan paramiliter di wilayah bergolak Balochistan, menyebabkan 18 anggota keselamatan terkorban.

Serangan hendap itu didakwa dilakukan oleh Tentera Pembebasan Baloch (BLA), yang kerap melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan serta penduduk dari wilayah lain di Pakistan.

Keganasan di kawasan sempadan Pakistan meningkat sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul pada 2021.

Pakistan menuduh kerajaan Taliban gagal menghapuskan militan yang melancarkan serangan dari wilayah Afghanistan, namun dakwaan itu dinafikan oleh Kabul.

Tahun 2024 mencatatkan angka korban tertinggi dalam hampir satu dekad, dengan lebih 1,600 nyawa terkorban dalam pelbagai serangan, termasuk 685 anggota keselamatan, menurut Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan yang berpangkalan di Islamabad.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE