YASHIO, 2 Februari- Lima keluarga yang tinggal berhampiran kawasan lubang benam besar di wilayah Saitama, dekat Tokyo, diarahkan berpindah pada Ahad, sementara operasi menyelamat seorang lelaki yang terperangkap di dalamnya dihentikan.
Seorang pemandu lori berusia 74 tahun telah terjatuh ke dalam lubang itu pada Selasa lalu, yang kini semakin melebar sehingga mencapai diameter 40 meter, hampir sepanjang kolam renang Olimpik.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada paip pembetungan yang telah mereput.
Seorang pegawai kerajaan tempatan memberitahu AFP bahawa arahan pemindahan telah dikeluarkan kepada lima isi rumah berdekatan, selain penduduk dalam lingkungan 50 meter dari lokasi kejadian turut digalakkan untuk berpindah.
Pada Sabtu, pasukan penyelamat Jepun berjaya membina cerun sepanjang 30 meter bagi membolehkan jentera berat digunakan untuk mengakses kawasan kejadian dan menyelamatkan mangsa.
Bagaimanapun, penyiar awam NHK melaporkan operasi itu terpaksa dihentikan pada Ahad selepas takungan besar air sisa kumbahan ditemui di bawah cerun, ditambah dengan hujan yang memburukkan lagi keadaan.
Dinding lubang yang dianggarkan sedalam 15 meter itu semakin terhakis, menyebabkan pasukan penyelamat tidak dapat bertahan lama di dalamnya.
Lubang tersebut pada asalnya berdiameter sekitar lima meter, namun menjadi semakin besar selepas satu lagi rekahan terbentuk ketika operasi menyelamat Selasa lalu.
Bagi mengelakkan kebocoran kumbahan yang boleh menjejaskan usaha menyelamat, kira-kira 1.2 juta penduduk di kawasan berhampiran diminta mengurangkan penggunaan air untuk mandi dan membasuh pakaian.-AFP