BEIRUT, 6 Oktober – Sekurang-kurangnya dua maut dalam serangan dron Israel di selatan Lubnan termasuk seorang anggota Hizbullah yang sebelum ini terselamat dalam insiden letupan peranti komunikasi tahun lalu.
Serangan itu menyasarkan sebuah kereta di laluan Zebdine, daerah Nabatiyeh, yang mana mengorbankan Hassan Atwi dan isterinya, Zainab Raslan.
Atwi sebelum ini dilaporkan hilang penglihatan akibat serangan Israel tahun lalu yang meletupkan ratusan pager dan walkie-talkie milik ahli Hizbullah.
Selain serangan di Nabatiyeh, tentera Israel turut mengesahkan menyerang beberapa kem latihan Hezbollah di kawasan Lembah Bekaa serta dua serangan udara di Hermel, timur laut Lubnan.
Konflik di sempadan Lubnan-Israel kembali memuncak biarpun gencatan senjata diumumkan November lalu, dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan 103 kematian awam di Lubnan sejak gencatan itu berkuat kuasa.
Kerajaan Lubnan dijangka membincangkan laporan pertama tentera negara itu berhubung pelan pelucutan senjata Hezbollah, di tengah tekanan diplomatik dari Amerika Syarikat dan Israel. - AFP