ATHENS, 6 Oktober – Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg termasuk 161 aktivis dari 16 negara Eropah tiba di Athens selepas diusir oleh Israel kerana menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Kementerian Luar Greece berkata penerbangan khas membawa pulang 27 rakyat Greece yang menyertai misi Global Sumud Flotilla itu turut membantu membawa pulang 134 warga dari 15 negara Eropah lain.
Misi flotila terdiri daripada 45 kapal yang berlayar dari Barcelona, Sepanyol, pada awal September dengan matlamat memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar bantuan kepada penduduk Palestin yang kini berdepan krisis kebuluran.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens, aktivis yang dibebaskan mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan slogan “Freedom for Palestine!” dan “Long live the flotilla!”
Israel sebelum ini terus memutar belit fakta kebenaran kononnya tiada bantuan kemanusiaan ditemui di atas kapal.
Pasukan tentera laut Israel menahan 45 kapal itu di perairan antara Mesir dan Gaza antara 1 hingga 3 Oktober, sebelum memaksa kesemuanya berlabuh di Pelabuhan Ashdod.
Lebih 470 aktivis ditahan, dan setakat ini 138 masih berada dalam tahanan Israel - AFP