(26 Ogos 2022 menunjukkan seorang wanita menggunakan telefonnya
semasa pameran kerja di Beijing/AFP)
BEIJING, 28 Ogos- Ekoran keadaan ekonomi China yang perlahan, berjuta-juta anak muda terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan yang semakin berkurangan demi menghadapi masa depan yang semakin tidak menentu.
Bulan ini, data rasmi yang dikeluarkan menunjukkan satu daripada lima orang anak muda di bandar raya China tidak bekerja pada Julai, lebih tiga kali ganda purata dan tertinggi dicatatkan sejak Januari 2018.
Hampir 11 juta graduan memasuki pasaran suram pekerjaan di China pada musim panas ini dengan ekonomi berkembang pada 0.4% pada suku kedua, paling lemah dalam dua tahun.
Zhao Yuting, berusia 22 tahun, memberitahu AFP, syarikat enggan mengupah apabila keadaan ekonomi menguncup hinggakan pekerja berpengalaman turut berebut-rebut untuk mendapatkan pekerjaan.
"Saya telah mencari pekerjaan selama dua atau tiga bulan ini tetapi ia kelihatan tipis," kata Zhao, yang terpaksa berpindah bersama ibu bapanya semasa dia mencari kerja.
Hanya segelintir syarikat yang menelefonnya semula untuk ditemu duga, namun ditolak kerana dia tidak mempunyai pengalaman.
"Semakin lama masa yang diambil, semakin besar tekanannya."
(Foto pada 26 Ogos 2022 menunjukkan orang ramai menghadiri pameran kerja di Beijing/AFP)
Sejak menamatkan pengajian Julai lalu, dia telah menyerahkan resume kepada berpuluh-puluh syarikat untuk mencari kerja.
Berbekalkan ijazah dalam bahasa Inggeris, Zhao fikir dia boleh mencari rezeki sebagai tutor sehingga dia mendapat pekerjaan sepenuh masa.
Apabila pertumbuhan dalam sektor swasta semakin perlahan, pencari kerja mula ke sekolah bagi persediaan menghadapi peperiksaan perkhidmatan awam.
Kira-kira dua juta orang mendaftar untuk peperiksaan perkhidmatan awam negara pada musim luruh yang lalu dan ianya telah mencatatkan rekod yang tertinggi.
Satu tinjauan yang dilakukan baru-baru ini oleh 51job, mendapati 40% responden lebih suka pekerjaan yang stabil berbanding kerjaya korporat. -AFP