fb fb fb fb fb

Amerika pulangkan barangan antik curi bernilai AS$16 juta ke Mesir

(Foto edaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Antikuiti Mesir pada 7 September 2022 ini menunjukkan serpihan sekeping kain linen
yang dihiasi dengan lukisan berwarna-warni yang menggambarkan suasana persimpangan Laut Merah seperti yang diceritakan dalam
alkitab dari naratif Exodus dibahagikan kepada lima kepingan kecil, sebahagian daripada 16 artifak arkeologi diambil
dari Amerika Syarikat selepas diseludup keluar dari negara itu secara haram / AFP)

NEW YORK, 8 September- Pihak berkuasa di New York mengumumkan pemulangan 16 barang antik ke Mesir, termasuk lima karya yang dirampas dari Muzium Seni Metropolitan sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas sindiket pemerdagangan hasil seni antarabangsa.

Pemulangan tersebut diumum sehari selepas pengumuman penghantaran 58 karya seni yang terbabit kes sama ke Itali.

Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg berkata 16 karya itu bernilai lebih daripada AS$16 juta.

"Penghantaran balik hari ini menunjukkan betapa besar rangkaian pemerdagangan barang antik," kata Bragg dalam satu kenyataan.

Sembilan daripada barangan tersebut telah menjadi milik Michael Steinhardt, yang digambarkan oleh Bragg sebagai salah seorang pengumpul seni purba terbesar di dunia.

Pada 2021, Steinhardt telah dipaksa oleh pihak berkuasa AS untuk memulangkan 180 karya seni purba yang dicuri bernilai sejumlah AS$70 juta.

Di bawah perjanjian itu dia mengelak daripada dipenjarakan tetapi dilarang seumur hidup daripada memperoleh barangan antik dalam pasaran.

Lima barangan yang lain telah dirampas pada Mei dan Jun daripada Muzium Seni Metropolitan, bernilai AS$3.1 juta, sebagai sebahagian daripada siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa AS dan Perancis, di mana bekas Pengarah Muzium Louvre, Jean-Luc Martinez didakwa di Perancis.

Kesemua barang antik itu dirompak dari tapak arkeologi di Mesir, diseludup melalui Jerman atau Belanda ke Perancis, dan dijual oleh Pierre Berge & Associes yang berpangkalan di Paris kepada Muzium Seni Metropolitan, kata Bragg.

"Maklumat yang dikumpul dan dikongsi oleh pejabat Manhattan DA dengan agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia yang berkaitan dengan siasatan ini telah membawa kepada dakwaan atau penahanan sembilan individu di Perancis, termasuk bekas Pengarah Louvre Jean-Luc Martinez," kata Bragg. -AFP


(Foto edaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Antikuiti Mesir pada 7 September 2022 menunjukkan syiling emas
yang berasal dari zaman Ptolemaic (305-30 SM), salah satu daripada 16 artifak arkeologi yang diambil dari
Amerika Syarikat selepas diseludup keluar negara secara haram / AFP)

Media Baharu