fb fb fb fb fb

Ada bukti Rusia ambil kanak-kanak Ukraine - PBB

(Sebuah hospital musnah akibat serangan peluru berpandu di Kramatorsk, wilayah Donetsk
pada 7 September 2022, susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine/AFP)

AMERIKA SYARIKAT, 8 September- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengambil maklum “tuduhan yang boleh dipercayai” bahawa tentera Moscow secara paksa membawa kanak-kanak Ukraine ke Rusia, manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin menuduh Barat mendapat manfaat daripada sekatan bijirin yang dilonggarkan.

Sementara itu Kiev mendakwa, tenteranya berjaya menawan semula wilayah penting dalam serangan balas di tenggara Kharkiv yang menurut pakar boleh mengancam laluan bekalan utama Rusia.

Ketika Eropah berdepan musim sejuk dan bekalan tenaga berkurangan, Suruhanjaya Eropah (EU) mencadangkan langkah tertentu untuk mengawal harga tenaga yang melambung tinggi, seterusnya menghukum Moscow kerana menceroboh Ukraine, termasuk mengehadkan harga gas Rusia.

“Kita berdepan situasi luar jangka kerana Rusia adalah pembekal yang tidak boleh dipercayai dan memanipulasi pasaran tenaga kami,” amaran dikeluarkan Ketua EU, Ursula von der Leyen.

“Perpaduan dan solidariti akan memastikan kejayaan kita,” tambahnya.

- Program ‘tapisan’ -

Di Washington semasa Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, Moscow dituduh memaksa sejumlah besar bukan pejuang Ukraine ke kem tahanan dan penjara menerusi program ‘tapisan’ yang diarahkan Kremlin dan mengeluarkan kanak-kanak dari zon perang dengan menyerahkan mereka kepada keluarga angkat.

"Kami bimbang pihak berkuasa Rusia telah menerima pakai prosedur mudah untuk memberikan kewarganegaraan Rusia kepada kanak-kanak tanpa penjagaan ibu bapa, dan kanak-kanak tersebut layak untuk menjadi anak angkat keluarga Rusia," kata Ilze Brands Kehris, Penolong Setiausaha Agung PBB untuk hak asasi manusia, kepada Majlis Keselamatan PBB.

Katanya, tentera Rusia telah meletakkan rakyat Ukraine dalam wilayah yang diduduki menerusi pemeriksaan keselamatan invasif atau secara ganas yang melibatkan banyak pelanggaran hak asasi manusia.

“Rakyat Ukraine yang didapati rapat dengan kerajaan atau pihak tentera telah diseksa dan dibuang secara paksa seterusnya dihantar ke penjara Rusia dan pusat tahanan lain,” tambah Ilze Brands Kehris.  

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, pejabat Presiden Rusia, Vladimir Putin secara langsung menguruskan penempatan semula rakyat Ukraine ke Rusia dan melakukan perkara itu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menggabungkan wilayah yang diduduki.

“Rusia telah secara sistematik menggunakan amalan pengusiran secara paksa yang dilakukan sebelum ini, dengan mewujudkan rasa takut dan sengsara terhadap penduduk yang terpaksa hidup bawah kawalan Kremlin," kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel.

Namun, Duta Rusia ke PBB, Vasily Nebenzya menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan berkata apa yang dilabelkan sebagai "tapisan” hanyalah mendaftarkan rakyat Ukraine yang secara rela melarikan diri dari perang ke Rusia.

“Setakat yang boleh dinilai, prosedur sama digunakan di Poland dan negara lain Kesatuan Eropah terhadap pelarian Ukraine," katanya kepada Majlis Keselamatan.


(Duta Rusia ke PBB, Vasily Nebenzya, ketika Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB,
pada 7 September 2022 di New York/AFP)

Bekalan bijirin 'dicuri'

Sementara itu Putin menuduh Eropah mengambil kesempatan terhadap penarikan sekatan eksport bijirin dari Ukraine untuk membantu negara Barat tatkala negara-negara miskin berdepan kehilangan bekalan makanan penting.

Data rasmi yang dikumpul oleh pusat pemantauan bersama di Istanbul yang memantau perjanjian eksport bijirin menunjukkan 30 peratus bekalan bijirin sampai ke negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Data yang dikumpulkan pada Rabu menunjukkan Turkiye menerima 20 peratus bijirin, diikuti Sepanyol (15 peratus) dan Mesir (10 peratus).

Tetapi kebanyakan bijirin yang tiba di Turkiye dan beberapa destinasi lain kemudiannya dijual semula bawah perjanjian yang tidak dipantau oleh pusat pemantauan Istanbul.

“Hampir ke semua bijirin yang dieksport dari Ukraine tidak dihantar ke negara miskin yang sedang membangun tetapi negara EU, dakwa Putin. –AFP

Media Baharu