fb fb fb fb fb

Suspek kedua kes serangan di Kanada meninggal dunia selepas diberkas polis

(Kenderaan dan anggota Royal Canadian Mounted Police dilihat mengelilingi trak pikap di tempat kejadian
di mana suspek Myles Sanderson ditangkap, di Lebuhraya 11 di Weldon, Saskatchewan / AFP)

JAMES SMITH CREE NATION, 8 September- Suspek kedua dalam kejadian tikaman yang menyaksikan 10 orang terbunuh dan 18 cedera dalam komuniti Orang Asli terpencil di Saskatchewan meninggal dunia selepas ditangkap pada Rabu, lapor media tempatan.

Penyiar awam CBC dan Global News, memetik sumber polis yang tidak dinamakan, berkata Myles Sanderson meninggal dunia akibat kecederaan yang dilakukannya sendiri.

Selepas pencarian selama beberapa hari, polis Kanada akhirnya berjaya memberkas suspek kedua dan terakhir pada Rabu.

Sebuah trak pikap yang terbabas ke bahu jalan dikelilingi oleh kereta polis menandakan penamat dramatik kepada pemburuan selama empat hari di seluruh wilayah Prairies.

Ia juga mendatangkan kelegaan kepada komuniti yang tertekan dengan salah satu insiden keganasan besar-besaran yang paling menakutkan di Kanada.

"Myles Sanderson ditemui dan ditahan polis, kira-kira jam 3:30 petang hari ini," kata polis. "Tiada lagi risiko kepada keselamatan awam berkaitan kes ini."

Pihak berkuasa juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana memberi maklumat berkaitan suspek itu.

Seorang wartawan AFP di tempat kejadian melihat beberapa kereta polis mengelilingi sebuah pikap putih di tepi lebuh raya.

Sejam sebelum penahanan Sanderson, polis mengeluarkan amaran tentang seorang lelaki bersenjatakan pisau dalam kereta Chevy Avalanche putih yang dicuri di kawasan berhampiran, dengan mengaitkan kes tikaman serta menggesa penduduk tempatan untuk berlindung di tempat selamat.

Susulan penahanan itu, Persekutuan Negara-negara Pribumi Berdaulat berkata mereka lega dengan penahanan Myles Sanderson.

Pemburuan besar-besaran terhadap dua beradik yang dipercayai bertanggungjawab ke atas pembunuhan pada Ahad diperluaskan di seluruh kawasan padang rumput tengah-barat Kanada.

Ia tertumpu di Regina, ibu kota wilayah Saskatchewan 300 kilometer (185 batu) ke selatan, dan kemudian kembali ke James Smith Cree Nation, sebagai tindak balas kepada maklumat penamoakan suspek di kawasan tersebut.

Pada Isnin polis menemui mayat Damien Sanderson yang berusia 31 tahun di komuniti Cree.

Pihak berkuasa berkata dia berkemungkinan telah dibunuh oleh saudaranya yang berusia 32 tahun, yang kekal sebagai buruan sehingga penahanannya berhampiran bandar Rosthern di Saskatchewan kira-kira 100 kilometer ke barat dari tempat kejadian tikaman itu berlaku.

Myles Sanderson mempunyai sejarah deretan kes jenayah yang membawa kepada 59 sabitan lampau dan juga dikehendaki kerana melanggar parol pada Mei selepas menjalani sebahagian daripada hukuman kerana menyerang dan merompak.

Tetapi serangan tanpa motif yang dilancarkan dua bersaudara itu menimbulkan persoalan daripada keluarga mangsa.

Mark Arcand berkata pembunuhan yang meragut nyawa kakaknya Bonnie Burns, 48, dan anak saudaranya Gregory Burns, 28, berkata ia adalah tindakan yang mengerikan dan tidak masuk akal.

"Kami sangat kecewa dan sedih," katanya, menggambarkan emosi kemarahan dan kesedihan. "Ia masih terasa seperti mimpi ngeri."

"Bagaimana ianya boleh berlaku kepada keluarga kami? Mengapa ia berlaku? Kami tidak mempunyai jawapan," katanya pada sidang media. "Kami hanya tahu bahawa ahli keluarga kami dibunuh di rumah mereka sendiri, di halaman rumah mereka."

Arcand menceritakan bagaimana kakaknya bergegas keluar dari rumahnya untuk membantu anaknya, yang mengalami pendarahan di jalan masuk mereka selepas ditikam beberapa kali.

“Dia ditikam dua kali, dan dia mati betul-betul di sebelahnya,” katanya. "Dia cuba melindungi anaknya."

Seorang jiran berlari untuk cuba menghalang penyerang, tetapi dia juga terbunuh, katanya.

Perkhidmatan Koroner Saskatchewan telah mengeluarkan nama mangsa yang terkorban, enam lelaki dan empat wanita berumur 23 hingga 78 tahun.

Kesemuanya adalah ahli komuniti Cree kecuali satu mangsa, seorang duda yang tinggal bersama cucunya di Weldon.

18 orang lagi mengalami kecederaan dalam serangan itu, kata polis. Antaranya ialah seorang lagi anak lelaki Bonnie Burns yang dikelar di leher.

Serangan itu adalah antara insiden keganasan besar-besaran yang paling mengerikan di Kanada.

Kanada juga telah menyaksikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini seorang lelaki bersenjata menyamar sebagai anggota polis membunuh 22 orang di Nova Scotia, seorang lagi membunuh enam jemaah di masjid Bandaraya Quebec, dan seorang pemandu van membunuh 11 pejalan kaki di Toronto.

Polis percaya beberapa mangsa dalam kejadian amuk pada Ahad menjadi sasaran dan yang lain diserang secara rawak.

Sepuluh orang masih dirawat di hospital, termasuk tiga dalam keadaan kritikal, menurut Pihak Berkuasa Kesihatan Saskatchewan. Tujuh lagi telah dibenarkan discaj. -AFP


(Kenderaan Royal Canadian Mounted Police dilihat mengelilingi trak pikap di tempat kejadian

di mana suspek Myles Sanderson ditangkap, di Lebuhraya 11 di Weldon, Saskatchewan / AFP)

Media Baharu