PUNTA GORDA (AMERIKA SYARIKAT), 29 September - Taufan Ian yang membawa ribut Kategori Empat semalam membadai pantai barat daya Florida turut mengakibatkan banjir ketika petugas sedang melakukan persiapan bagi menghadapi kecemasan itu pada bila-bila masa sahaja.
Kira-kira 20 migran dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam, menurut pengawal pantai Amerika Syarikat (AS).
Dalam tragedi bot karam itu, empat warga Cuba berjaya berenang ke pantai kepulauan Floridad Keys, manakala tiga mangsa lagi diselamatkan dari laut oleh pasukan pengawal pantai.
Banjir yang menenggelami kediaman berhampiran pantai dan jalan raya dari bandar pesisir Naples disiarkan melalui televisyen.
Rakaman dramatik itu memaparkan kenderaan turut dihanyutkan akibat arus kuat yang deras.
NHC memaklumkan, Taufan Ian membawa angin kencang berkelajuan maksimum 240 kilometer sejam yang 'membadai semenanjung Florida boleh menyebabkan malapetaka.'
(Taufan Ian yang melanda Florida menyebabkan
pokok-pokok besar tumbang di sepanjang jalan/FOTO AFP)
Gabenor Florida, Ron DeSantis, berkata lebih 1.1 juta penduduk dilaporkan mengalami bekalan elektrik terputus di negeri itu dan angka berkenaan dijangka meningkat.
Tambahnya tiga daerah yang terawal dilanda taufan itu menyebabkan hampir keseluruhan bekalan elektrik terputus.
Dilaporkan lapangan terbang di Tampa dan Orlando menghentikan semua penerbangan komersial, selain syarikat kapal persiaran turut menangguh atau membatalkan pelayaran.
Amaran kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa memaklumkan bahawa taufan itu dijangka membawa hujan sangat lebat di sebahagian kawasan, dan mengakibatkan ombak besar mencecah paras 3.6 hingga 5.5 meter.
Taufan itu diramal bergerak merentasi tengah Florida sebelum ke Lautan Atlantik menjelang lewat hari ini.
Sehari sebelum itu, Taufan Ian membadai Cuba sehingga menyebabkan seluruh negara itu terpaksa bergelap apabila bekalan elektrik terputus sepenuhnya.
Sekurang-kurang dua individu maut di wilayah Pinar del Rio. - AFP