(Seorang lelaki berjalan kaki di sepanjang pantai ketika
taufan Noru sedang membadai bandar Danang semalam/FOTO AFP)
DANANG, 29 September - Taufan Noru membadai bandar Danang semalam dengan angin kencang dan hujan lebat ketika beratus-ratus ribu penduduk sedang berlindung di pusat perlindungan, kata jabatan meteorologi.
Menurut, Pusat Ramalan Hidrometeorologi Nasional, taufan yang membadai bandar ketiga terbesar di Vietnam itu turut menumbangkan pokok-pokok dan mencabut bumbung kediaman selain bangunan-bangunan tinggi turut bergoyang.
Tambahnya, kedudukan pusat taufan setakat pukul 4 pagi (waktu tempatan) semalam adalah di antara Danang dan Quang Nam dan angin pula berkelajuan antara 103 hingga 117 kilometer sejam.
Kira-kira 200,000 orang di Vietnam mencari tempat perlindungan selepas ramalan cuaca menjangkakan ribut itu merupakan antara yang terbesar melanda negara Asia Tenggara tersebut.
(Pada petang Rabu, peramal cuaca memberi amaran tentang tanah runtuh
dan banjir serius selepas taufan itu melanda Vietnam/FOTO AFP)
Tambah agensi meteorologi, hujan akan berterusan ke siang hari dengan risiko tanah runtuh dan banjir serius walau kelajuan angin adalah lebih perlahan daripada jangkaan.
Sekurang-kurangnya 40,000 askar dan 200,000 anggota militia siap siaga dilengkapi kenderaan perisai serta bot sebagai perse
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Vietnam berkata sebagai persediaan operasi menyelamat dan bantuan seramai 40,000 askar dan 200,000 anggota militia diarah untuk bersiap siaga menghadapi bencana tersebut.
Hampir separuh lapangan terbang di Vietnam ditutup, begitu juga sekolah dan pejabat di beberapa wilayah tengah negara itu termasuk Danang.
Seksyen tengah lebuh raya menghubungkan Hanoi di utara dengan hab komersial, Bandar Raya Ho Chi Mih di selatan juga ditutup.
Semua persediaan itu dilakukan selepas Taufan Super Noru menghentam Filippina awal minggu ini, menyebabkan enam orang terbunuh.
Lewat kelmarin, hampir 260, 000 penduduk telah dipindahkan daripada kediaman mereka - AFP