(Sesi membuang undi pada hari ketiga referendum
di empat wilayah Ukraine di Mariupol/FOTO REUTERS)
UKRAINE, 29 September - Empat wilayah di Ukraine iaitu Zaporizhzhia, Kherson, Lugansk serta Donetsk yang dikuasai Moscow mengisytiharkan keputusan pungutan suara untuk menyertai Rusia.
Langkah itu mengundang kecaman antarabangsa, manakala Rusia beri amaran ia boleh menggunakan senjata nuklear untuk mempertahankan wilayah terbabit.
Keputusan pungutan suara yang berlangsung sejak 23 September lalu berakhir kelmarin.
Moscow sebelum ini memberi amaran sekiranya keempat-empat wilayah tersebut bersatu dengan Russia, Kremlin akan menganggap sebarang cubaan oleh Kiev untuk merampas semula rantau itu sebagai serangan ke atas tanah milik Rusia.
Bagaimanapun, Ukraine tidak akan mengiktiraf keputusan referendum tersebut.
Malah Kiev menganggap persetujuan empat wilayah terbabit menyertai Rusia sebagai tidak sah.
Sementara itu, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menyifatkan referendum tersebut sebagai ‘palsu’.
Setiausaha Negara Amerka , Antony Blinken memberitahu bahawa Donetsk, Lugansk, Kherson dan Zaporizhzhia tidak akan diiktiraf sebagai sebahagian daripada wilayah Rusia.
Kiev juga tegasnya, mempunyai hak untuk merampas kembali semua wilayah tersebut. - REUTERS