YANGON, 29 September - Mahkamah junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Aung San Suu Kyi di bawah akta rahsia negara, kata sumber pada Khamis.
Sebelum ini, Suu Kyi yang ditahan sejak rampasan kuasa oleh tentera pada tahun lalu, disabitkan dengan kesalahan rasuah serta sejumlah pertuduhan lain oleh mahkamah yang mengadakan perbicaraan secara tertutup.
Menurut sumber kepada AFP yang enggan mendedahkan namanya berkata seorang ahli ekonomi warga Australia turut menerima hukuman tiga tahun di bawah akta yang sama.
Kedua-duanya telah ditahan sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lalu di mana tentera menggulingkan kerajaan Suu Kyi, yang mana Turnell adalah penasihatnya.
"Encik Sean Turnell, Daw Aung San Suu Kyi dan tiga lagi dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setiap seorang bawah Akta Rahsia Negara," kata sumber itu kepada AFP, sambil menambah bahawa Suu Kyi akan merayu keputusannya.
(Gambar failĀ Aung San Suu Kyi/FOTO AFP)
Sumber itu menambah Turnell turut dituduh dengan kes berasingan di bawah akta imigresen yang kini sedang berjalan.
Penahanannya tahun lalu mencetuskan kemarahan, dengan diplomat Australia melobi jiran serantau Myanmar untuk membantu kes itu.
Lelaki berusia 76 tahun itu mendedahkan dalam satu temu bual melalui telefon dengan BBC berkata dia ditahan selepas rampasan kuasa 2021.
"Saya baru sahaja ditahan pada masa ini, dan mungkin didakwa dengan sesuatu, saya tidak tahu mengenai apa boleh jadi apa-apa sahaja," kata Turnell kepada penyiar pada masa itu.
Pada Ogos lalu, dia mengaku tidak bersalah kerana melanggar akta rahsia rasmi semasa perbicaraannya di mahkamah tertutup junta.
Persidangan itu juga tidak boleh diakses oleh wartawan.
Myanmar bergolak sejak tentera merampas kuasa tahun lalu dan menggulingkan kerajaan pilihan Suu Kyi.
Selepas menggulingkan kerajaan Suu Kyi, pihak junta telah mengisytiharkan darurat dan pernah dilaporkan berkata pilihan raya akan diadakan dengan perintah darurat ditarik balik pada Ogos 2023. -AFP