ALGIERS, 13 Julai- Kementerian Kebudayaan Algeria mengumumkan bahawa semua festival seni utama pada musim panas ini ditangguhkan sebagai solidariti dengan Semenanjung Gaza.
Menteri Kebudayaan Soraya Mouloudji dalam satu kenyataan berkata kementerian sebaliknya akan mempergiat aktiviti yang menzahirkan solidariti negara dengan perjuangan Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Mouloudji berkata keputusan itu berlandaskan pendirian tetap Algeria yang menyokong "perjuangan rakyat Palestin dan perjuangan sah mereka menentang kekejaman Zionis".
Kementerian itu menganjurkan beberapa festival seni utama setiap kali tiba musim panas, termasuk Festival Kebudayaan Antarabangsa Timgad di Batna timur Algeria dan Festival Antarabangsa Kazif di Algiers.
Lebih 38,300 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan hampir 88,300 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.- BERNAMA