SINGAPURA, 24 Mei- Mahkamah Singapura memerintahkan adik kepada bekas perdana menteri, Lee Hsien Loong pada Jumaat membayar ganti rugi SGD$296,000 kepada dua menteri tertinggi selepas tuduhan libelnya mencetuskan huru-hara di negara kota itu.
Fitnah yang dilemparkan Lee Hsien Yang di Facebook adalah berkaitan kontroversi penyewaan banglo kolonial oleh menteri luar dan menteri undang-undang, dengan kedua-duanya disahkan tidak bersalah menerusi dua siasatan.
Hsien Yang, 66, tinggal di luar negara selepas melarikan diri dari Singapura dua tahun lalu, mendakwa dirinya mengalami penganiayaan politik oleh kerajaan pimpinan abangnya, Lee Hsien Loong, ketika itu.
Dakwaan yang dibuatnya mengenai hartanah utama yang terletak di pinggir bandar yang rendang itu mencetuskan bantahan di negara kota itu, di mana kebanyakan penduduk tinggal di pangsapuri bertingkat tinggi yang dibina kerajaan.
"Saya dapati defendan tahu bahawa perkataan yang menyinggung perasaan itu adalah palsu, dia menerbitkannya secara melulu, dan/atau tanpa mengambil kira atau mengambil berat sama ada ia benar atau tidak," kata Hakim Mahkamah Tinggi, Goh Yihan pada Jumaat ketika mengumumkan jumlah ganti rugi.
Goh mengarahkan Hsien Yang membayar ganti rugi SGD$200,000 ($148,000) kepada setiap seorang daripada dua ahli politik terbabit iaitu Menteri Luar, Vivian Balakrishnan dan Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang, K. Shanmugam.
Kedua-dua menteri mengeluarkan saman secara berasingan kerana memfitnah dan notis mahkamah mengenai tindakan undang-undang telah disampaikan melalui Facebook Messenger kerana Hsien Yang tidak berada di Singapura.
Hakim memerintahkan Hsien Yang pada November untuk membayar ganti rugi kepada menteri tetapi tidak segera menyatakan jumlahnya.
Lee Hsien Yang telah menyertai parti pembangkang tetapi masih tidak jelas sama ada beliau mahu bertanding untuk parlimen.
Adik beradik Lee telah berselisih selepas kematian bapa mereka pada 2015, pemimpin pengasas Singapura moden Lee Kuan Yew, mengenai perkara yang perlu dilakukan dengan rumah keluarga bersejarah selepas kematiannya.
Lee Hsien Loong, 72, menyerahkan kuasa kepada timbalannya Lawrence Wong pada 15 Mei selepas 20 tahun memegang jawatan.- AFP