NOUMEA, 24 Mei- Seorang penunjuk perasaan berusia 48 tahun ditembak mati akibat menyerang polis di New Caledonia, ketika situasi di negara pulau itu semakin tegang.
Menurut pendakwa raya, serangan berkenaan berlaku selepas lawatan Presiden Emmanuel Macron ke wilayah Pasifik Perancis itu.
"Beberapa anggota polis diserang oleh sekumpulan penunjuk perasaan, kira-kira 15 individu di Dumbea, di luar ibu negara Noumea," kata pendakwa raya, Yves Dupas.
Jumlah kematian akibat rusuhan yang berlarutan lebih seminggu kini mencecah tujuh orang.
"Dalam keadaan yang masih belum ditentukan, pegawai itu dikatakan telah melepaskan tembakan dari senjata perkhidmatannya, sebagai usaha perlindungan dirinya dan menyuraikan rusuhan."
“Penemuan awal menunjukkan terdapat kesan pukulan terhadap muka pegawai berkenaan," kata Dupas dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, jelas pendakwa raya, pegawai yang melepaskan tembakan tersebut telah ditahan dan disiasat susulan tindakannya.
Di Perancis, kes membabitkan pembunuhan membabitkan pihak berkuasa akan berdepan siasatan undang-undang secara automatik.
"Siasatan akan dijalankan dengan semua objektiviti dan kesaksamaan, dalam membuktikan kebenaran", tambah pendakwa.
Lelaki itu dibunuh selepas Macron terbang ke kepulauan Pasifik, yang terletak kira-kira 17,000 kilometer (10,600 batu) dari tanah besar Perancis, dalam usaha mendesak untuk meredakan krisis politik selepas lebih seminggu rusuhan berhubung reformasi pengundian.
Tujuh orang, termasuk dua anggota tentera, kini terbunuh sejak rusuhan tercetus pada 13 Mei lalu.
Namun, itu adalah kali pertama orang awam dibunuh oleh anggota penguat kuasa undang-undang sejak tercetusnya keganasan.
Perancis telah menguatkuasakan keadaan darurat di New Caledonia, menerbangkan ratusan anggota polis dan tentera untuk memulihkan keadaan.- AFP